Subang Parade Merdeka Fiesta tawar pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

Subang Parade Merdeka Fiesta tawar pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Kebangsaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pusat beli-belah milik Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), Subang Parade mengadakan pelbagai aktiviti mesra keluarga dengan mengambil inspirasi daripada tema Hari Kebangsaan, “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, sambil menyokong budaya dan pereka tempatan.

 

Subang Parade Merdeka Fiesta yang bakal diadakan pada 27 hingga 28 Ogos dan 31 Ogos 2022, merangkumi aktiviti seperti pertunjukan fesyen yang meraikan kekayaan tradisi batik, tenun dan songket Malaysia serta bazar barangan buatan dan keluaran tempatan, demonstrasi memasak masakan tempatan, hobi dan zoo haiwan peliharaan.

 

Pelancaran pertunjukan fesyen Subang Parade yang unik pada 27 Ogos 2022 akan menampilkan pereka seperti Calvin Thoo yang terkenal dengan pengkhususan dalam fabrik tradisional.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Property Services Sdn Bhd, Aldela Puspa Nordin berkata, Merdeka Fiesta disatukan untuk memberi kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kekayaan warisan dan kepentingan bersama, nilai dan sejarah negara, membantu membina asas yang kukuh untuk masa depan. 

 

"Pertunjukan fesyen Batik, Tenun dan Songket serta pameran kebanyakan barangan keluaran tempatan akan menjadi pameran yang bagus mengenai semua perkara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut diadakan ialah pameran khas batik dan songket tradisional buatan tangan dan direka penghuni Penjara Kelantan, satu inisiatif yang membanggakan di bawah Yang Teramat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Dato' Hajjah Noor Hayati binti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj .

 

Sepanjang tiga hari Subang Parade Merdeka Fiesta, terdapat juga kempen pengambilan haiwan peliharaan di samping zoo haiwan peliharaan. Terdapat juga tutorial dan demonstrasi, antara lain, berkaitan solekan dan pembinaan terarium. Untuk hijabista, ada tutorial yang akan berlangsung pada 28 dan 31 Ogos 2022.

 

 

hektareit
Johari Shukri Jamil

 

 

Datuk Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam, seorang chef selebriti popular Malaysia, akan mempamerkan kepakaran memasaknya pada 31 Ogos 2022 melalui beberapa demonstrasi masakan. Selain itu, terdapat juga persembahan artis terkenal.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Johari Shukri Jamil berkata, mereka bersyukur dan teruja kerana dapat berkumpul bersama dan berkongsi pengalaman gembira di Subang Parade, yang juga merupakan pusat beli-belah serantau pertama yang dibuka di Selangor pada tahun 1988. 

 

"Merdeka Fiesta mempamerkan budaya dan akar umbi Malaysia yang kita mahu bukan sekadar mempertahankannya tetapi berkongsi dengan seluruh dunia. Ini termasuk bukan sahaja tradisi masakan kita tetapi juga fesyen dan seni kita seperti yang dapat dilihat daripada rekaan batik dan songket yang dipersembahkan di sini.

 

“Subang Parade telah menjadi pusat keluarga dan pekerja di kawasan kejiranan sekitar selama lebih 30 tahun. Sejak itu, pusat beli-belah itu telah melalui beberapa penambahbaikan dan pengubahsuaian untuk memastikan ia kekal di atas trend pasaran sambil memenuhi sasaran pasaran kami. 

 

"Kami mahu kekal sebagai tempat berkumpul utama untuk keluarga dan rakan-rakan di Lembah Klang dan kami akan terus menaik taraf kemudahan serta memperkenalkan jenama dan perkhidmatan runcit baharu untuk memastikan mereka mendapat sebanyak mungkin daripada lawatan mereka ke pusat membeli-belah itu," katanya. - DagangNews.com