Tak semua orang perlu wasiat? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 12 Oct 2020 06:00 AM
WasiyyahShoppe

TAK SEMUA ORANG PERLU WASIAT?

 

Cerita pasal harta pusaka ni sebenarnya sangat banyak dan luas aspek yang boleh disentuh. Baik dari segi undang-undang syariah atau sivil, hukum syarak, adat, sosial mahupun ekonomi. Ia sebahagian dari kehidupan kita. Minggu ini saya nak sentuh tentang wasiat.

Cerita ini dari 1998 sehingga sekarang saya sudah bawa secara istiqomah ke dalam masyarakat supaya difahami dengan baik. Sebenarnya saya pernah cerita tentang tajuk ini tapi kerana soalan berkaitannya kerap ditanya dan masih banyak kekeliruan wujud dalam masyarakat, maka saya terpanggil untuk mengulasnya sekali lagi.

Ada seakan satu doktrin yang dibawa ke dalam masyarakat hari ini oleh pihak yang menawarkan perkhidmatan penyediaan wasiat iaitu semua orang perlu wasiat. Wasiat digambarkan sebagai satu instrumen yang tidak boleh tidak mesti disediakan oleh masyarakat. Sebenarnya doktrin ini tidak tepat. Tidak semua orang perlu wasiat.

Dalam mengupas tajuk minggu ini kita kena faham dulu apakah maksud wasiat dan apa sebenar fungsinya. Wasiat dari sudut hukum syarak seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ialah pemberian pada kadar maksimum 1/3 dan penerima wasiat ini pula mestilah terdiri dari bukan waris iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid. Contohnya ialah anak angkat, anak tiri, pusat tahfiz, persatuan, masjid, surau dan sebagainya. Wasiat ini berkuatkuasa selepas mati dan ditolak dari harta pusaka terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada penerima wasiat berkenaan.

Tujuan wasiat ini dibuat ialah untuk amal jariah. Maknanya jika anda berhasrat untuk beramal jariah pada kadar maksimum 1/3 (kalau kurang daripada kadar itu juga dibenarkan) dari harta pusaka anda selepas kematian, maka wasiat ialah instrumen yang paling tepat mesti anda buat.

Kalau sebaliknya anda kata anda mahukan harta anda diwarisi sepenuhnya oleh waris-waris mengikut hukum faraid, maka anda tidak perlulah berbuat apa-apa. Selepas kematian anda, secara automatik hak ke atas harta pusaka anda akan jatuh kepada waris mengikut bahagiannya masing-masing.

Bagaimana pula jika anda mahukan waris-waris anda seperti anak-anak dan isteri pula yang mendapat harta anda mengikut formula yang anda tetapkan (tidak mengikut agihan faraid)? Jika anda membuat wasiat bagi tujuan ini, jika ia tidak dipersetujui oleh waris-waris hukum faraid yang lain, maka wasiat ini batal. Contohnya Ali membuat wasiat supaya harta pusakanya diagihkan separuh kepada isteri dan separuh lagi kepada anak perempuan tunggalnya. Dalam masa yang sama dia mempunyai seorang adik lelaki (dengan andaian ibubapanya telah lama meninggal dunia). Dalam kes Ali ini, waris-waris mengikut hukum faraidnya ialah isteri, anak perempuan dan adik lelakinya. Sekiranya adik lelakinya itu tidak bersetuju dengan wasiat Ali selepas kematiannya, wasiat itu akan batal dan agihan mengikut hukum faraid akan dilaksanakan. 

Kesimpulannya, orang Islam yang perlu buat wasiat dalam konteks hukum syarak ini ialah orang Islam yang mempunyai hasrat untuk beramal jariah pada kadar maksimum 1/3 dari harta pusakanya kepada bukan waris. Kalau nak mengagihkan harta mengikut formula yang dikehendakinya seperti apa yang dikehendaki Ali di atas, maka instrumen yang paling berkuatkuasa dan tepat perlu disediakan ialah hibah.

Ada satu lagi wasiat yang dipanggil sebagai wasiat pentadbiran. Ini ialah wasiat dalam konteks undang-undang sivil. Wasiat ini gunanya ialah untuk melantik wasi / pentadbir harta pusaka sama ada dalam kalangan individu ataupun syarikat amanah. Bila dihujahkan semua orang perlu wasiat, inilah wasiat yang dimaksudkan mereka.

 

wasiat



 

Namun masyarakat kena faham bahawa wasiat ini melantik wasi ini hanya berkuatkuasa sepenuhnya bagi kes pusaka yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan nilai harta pusakanya melebihi RM2 juta.  

Sebaliknya sekiranya nilai pusaka itu kurang dari RM2 juta dan mempunyai hartanah, kes itu akan dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil. Dalam keadaan ini, wasiat yang melantik wasi itu tidak berkuatkuasa kecuali dipersetujui oleh semua waris. Jika ada waris yang tidak bersetuju maka wasi/pentadbir yang dipilih dan dipersetujui dalam kalangan warislah yang akan dipilih ketika bicara kuasa.

Dalam erti kata lain, orang Islam yang memerlukan wasiat pentadbiran ialah orang Islam yang mempunyai harta bernilai RM2 juta dan ke atas kerana wasiat melantik wasi ini amat diperlukan oleh Mahkamah Tinggi Sivil bagi mengeluarkan probet.

Orang Islam yang hartanya kurang dari RM2 juta bagaimana pula? Terserahlah kepada anda sama ada anda ingin membuat wasiat melantik pentadbir ini atau tidak. Bagus jika wasiat ini dibuat sebagai panduan siapa yang sepatutnya dilantik sebagai wasi/pentadbir namun anda kena faham ia tidak berkuatkuasa sekiranya tidak dipersetujui waris-waris.


Jadi betulkah hujah bahawa semua orang Islam memerlukan wasiat? Tidak betul hujah itu. Orang yang memerlukan wasiat hanyalah terdiri daripada 2 golongan yang saya ceritakan di atas iaitu orang Islam yang mempunyai hasrat untuk beramal jariah pada kadar maksimum 1/3 dari harta pusakanya dan orang Islam yang mempunyai harta bernilai melebihi RM2 juta dan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Dalam pengalaman 22 tahun saya, saya dapati apabila bercakap tentang harta pusaka, kebiasaannya orang Islam terfikir tentang bagaimana dia boleh membahagikan hartanya kepada orang-orang tertentu mengikut formula agihan yang dikehendakinya. Orang-orang ini termasuklah waris mengikut hukum faraid dan bukan waris. Jika inilah hasratnya, maka instrumen yang perlu dibuatnya ialah hibah bukan wasiat.

Tapi para pembaca jangan pula salah anggap bahawa saya anti wasiat. Saya sangat menggalakkan orang Islam membuat wasiat cumanya saya hanya mengemukakan pandangan bahawa wasiat itu mestilah dibuat kena pada fungsi dan kuatkuasanya. Tapi kalau anda nak juga buat wasiat walaupun anda tidak jatuh dalam 2 golongan yang saya sebutkan di atas, terserahlah. Itu hak anda. 

 

ariffinsabirin

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?