Tekanan inflasi terus 'hantui' sektor pengguna | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi terus 'hantui' sektor pengguna

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Sektor pengguna akan terus berhadapan pelbagai cabaran termasuk tekanan inflasi yang bakal mengurangkan kuasa membeli orang ramai.

 

Kenanga Research berkata, cabaran itu akan membuatkan pengguna mengurangkan perbelanjaan atau beralih kepada alternatif yang lebih murah.

 

"Kehadiran orang ramai ke pusat beli-belah juga telah berkurangan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan harga barangan mula mencatatkan kenaikan selaras dengan pemulihan ekonomi dan kenaikan gaji minimum," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan keadaan menjadi lebih baik untuk baki CY22 didorong pemulihan dalam pasaran tenagan kerja selain permintaan yang disokong oleh polisi kerajaan seperti kenaikan gaji minimum dan Prgram Subsidi Upah (PSU) selain peningkatan aktiviti sektor pelancaongan.

 

Firma itu berkeyakinan, kumpulan M40 aka terus mengekalkan perbelanjaan disokong oleh pendapatan kunci kira-kira yang sihat tetapi kumpulan B40 akan bergelut selepas pengeluaran dana khas semasa pandemik semakin berkuarangan.

 

"Kami menjangka pemain industri runcit dapat mempertahankan margin keuntungan dengan gabungan produk yang lebih baik dan kecekapan operasi selain ketiadaan gangguan bekalan utama terutamanya dari China.

 

"Perkara tidak sama untuk pengeluar F&B yang tidak menaikkan harga produk untuk mengimbangi kos input yang lebih tinggi kerana bimbang akan mengurangkan permintaan (apabila pengguna mengurangkan pembelian dan beralih kepada alternatif yang lebih murah) dan kehilangan bahagian pasaran," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dan pada masa sama melihat pemain industri runcit akan megekalkan jualan disokong oleh perbelanjaan kumpulan M40.

 

"Segmen runcit dilihat mampu melepaskan kos yang tinggi kepada pengguna bagi mengekalkan margin keuntungan manakala segmen F&B dijangka terus berdepan tekanan margin bagi mengekalkan jualan mereka," katanya. - DagangNews.com