Telekom Malaysia tidak endah pelawaan Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 10 Dec 2020 08:26 AM

Telekom Malaysia tidak endah pelawaan Dubai

 

 

SAYA meninggalkan Dubai Media City dengan berat kerana tanggungjawab yang diberikan dan tugas yang semakin mencabar. Saya tidak kisah orang minum arak kerana masing-masing profesional dalam melakukan kerja. Waktu kerja tidak seorang pun mabuk hanya waktu malam. Saya masih boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tidak kira sesiapa.

 

Saya dijangka pergi ke London lebih kurang seminggu dari tarikh berhenti di Dubai Media City. Saya sepatutnya pergi dengan RS ke pejabat media terbesar Arab iaitu MBC, kebetulan RS juga tinggal di London. Saya sudah lama tidak ke London sejak meninggalkan TV3, yang boleh kata selalu pergi ke sana. Namun apa boleh buat, saya sudah berhenti kerana kemahuan dan desakan hati.

 

RS bertanya kepada saya tentang lawatan itu, bolehkah saya pergi kerana nama telah ditempah sejak awal. Mereka terpaksa menggugurkan nama. Tidak mengapa, mungkin di lain kali kalau ada rezeki dan peluang. Kami sudah merancang berdua untuk berjalan di London dan pergi ke tempat dia belajar. Dia mahu bercerita tentang pengajian PhDnya.

 

Saya sempat ke London melawat BBC dan ITV serta Universiti Oxford untuk tujuan kerja. Saya pergi juga ke Jerman, Perancis dan Belgium untuk melawat stesen TV. Sementara itu saya ke Amerika Syarikat sebagai AJK Siggraph Amerika, hanya seorang luar Amerika yang menjadi anggota pertubuhan ini. Siggraph adalah NGO grafik yang terbesar dan saya pergi ke Amerika secara percuma selama 3 tahun sewaktu di TV3.

 

Saya masuk ke pejabat baru Dubai Internet City dan pejabat Hamed Kazim di tingkat teratas Crowne Plaza. Dia mempunyai pejabat yang besar. Ada dua orang Mat Salleh. Seorang dari Amerika dan seorang lagi dari Sweden yang sebaya dengan saya di bilik berasingan. Saya dapat bilik khas. Seorang setiausaha dari Palestin. Cantik juga orangnya tetapi sudah berkahwin. Setiausaha itu beritahu telah ada empat setiausaha bekerja dengan Hamed Kazim sebelum ini. Dia mungkin tidak lama dan akan berhenti juga.

 

aaa
Crown Plaza di Dubai Internet City

 

Sungguh mengejutkan perkhabaran itu. Dia beritahu bahawa dia tidak suka Mat Salleh dan bersyukur saya datang. Dia dan saya menjadi rakan yang selalu bercerita hal masing-masing. Kami selalu bersembang kalau Hamed tidak ada.

 

Saya berkenalan dengan pengurus dari Amerika dan Sweden itu. Mereka terus menjadi rakan yang baik dan sentiasa menolong. Sibuk dengan tugas masing-masing. Saya dibiarkan duduk mengemas.

 

Hamed Kazim pun datang dan saya diterangkan apa tugasan yang perlu saya fokuskan. Saya mendengar dengan khusyuk dan penuh perhatian. Hamed mempunyai slang Amerika yang baik dan dia bercakap dengan cepat serta ringkas. Saya faham sedikit sebanyak. Saya diberikan kunci pejabat selain dirinya sendiri. Satu penghormatan. Hamed menunjukkan dia benar-benar percaya kepada saya.

 

Saya keluar dan sudah ramai menanti untuk bertemu Hamed. Saya melihat para tetamu yang berpakaian kemas sedangkan saya tidak bertali leher dan berkot. Saya sudah biasa tanpa tali leher sejak di TV3 dengan pakaian bersantai. Pakai kemeja sahaja kerana lebih selesa.

 

Hamed mempunyai tetamu tidak putus-putus untuk bertemu dengannya. Dia memegang jawatan yang glamor di kota Dubai. Dipinjamkan dari Arthur Andersen buat sementara waktu. Dia banyak syarikat dan bekerja dengan Dubai Internet City kerana dia baik dengan Sheikh Mohammed Al Maktoum, raja Dubai dimana dia berperanan sebagai penasihat. Saya melihat mereka yang datang dari pelbagai organisasi dari seluruh dunia.

 

Bila waktu Hamed bekerja? Sebab itu baliknya malam setiap hari.

 

Tugas saya ialah mengenal pasti rakan kongsi Dubai Internet City. Hamed memberi tiga nama senarai pendek dari pengamatannya, AT&T dari Amerika, Singtel dari Singapura dan French Telecom dari Perancis. Dia menyuruh saya meneliti ketiga-tiga syarikat ini dengan teratur sebelum menghubungi.

 

Dalam pada itu saya teringat Telekom Malaysia. Bolehkah saya shortlist atau senarai pendek Telekom Malaysia? Saya terpaksa memberitahu Hamed yang mulanya enggan kerana tidak tahu syarikat itu. Saya beritahu yang saya boleh dapatkan maklumat lebih baik kerana saya orang Malaysia.

 

Dia agak keberatan untuk bersetuju tetapi akhirnya memberi peluang kepada saya. Saya terus menghubungi keempat-empat syarikat sebagai senarai rakan kongsi Dubai Internet City.

 

Syarikat yang terpilih akan menjadi rakan kongsi dalam memberi khidmat telekomunikasi iaitu Internet. Bermakna akan menjadi Etisalat kedua, Etisalat monopoli UAE yang memerlukan syarikat telco kedua. Ini berlaku pada tahun 2001.

 

entisalat

 

Beberapa hari kemudian saya dihubungi oleh AT&T, Singtel dan French Telecom. Mereka bertanya lanjut tentang tujuan saya dan sangat berminat untuk menjadi rakan.

 

Tetapi Telekom Malaysia tiada jawapan.

 

Seminggu ke dua minggu tiada jawaban. Saya pun menelefon. Setelah berkali-kali menelefon akhirnya saya dapat orang yang dimaksudkan.

 

“Apa Dubai Internet City?” Soalannya pertama kali. Saya terangkan siapa kami. Syarikat baru yang mencari rakan untuk bersaing dengan Etisalat.

 

“Kamu bukan Malaysian!”

 

Saya berkata ya dan bekerja di Dubai Internet City. Saya mendapat tawaran untuk bekerja, seorang orang Malaysia. Saya mendapat kerja setelah menulis “Learning from Malaysia mistakes in Cyberjaya” dengan MDC. Saya pernah tiga kali meminta MCS status untuk TV3 tetapi gagal. MDC tidak faham tugas-tugas TV3.

 

Dia seperti tertawa.

 

“Kami ini besar dan tidak mahu mencampuri Dubai Internet City, awak carilah rakan-rakan yang lain!”

 

Itulah kata-kata seorang pegawai Telekom Malaysia. Saya rasa kesal untuk menghubungi. Apalah guna dengan jawapan sebegini. Inilah peluang terbaik Telekom Malaysia untuk masuk ke UAE. Dia langsung tidak berminat dengan Dubai Internet City dan mentertawakan saya. Tidak mengapa.

 

dubai
Bangunan pencakar langit di Dubai persis kota New York.

 

Ketiga-tiga syarikat telco menghubungi dan menelefon saya. Mereka mahu datang ke Dubai. AT&T terus menetapkan Presidennya menghubungi saya, saya terkejut. AT&T adalah syarikat terbesar di Amerika Syarikat dengan Kanada. Presidennya bercakap dengan baik dan dia mahu datang ke Dubai untuk hubungan strategik yang penting. Dia cukup yakin dapat bisnes dengan Dubai Internet City dan bersaing dengan Etisalat.

 

Begitu juga Singtel yang memberitahu mereka datang dengan Duta Singapura ke UAE. Pengarah Singtel tidak tahu saya dari Malaysia kerana tidak memberitahu, dia bercakap Inggeris dengan baik. Sementara French Telecom datang dengan Pengarah Luar Negaranya. Semua hebat-hebat melainkan Telekom Malaysia yang terus menolak.

 

Saya terus bekerja menanti kedatangan syarikat-syarikat telekomunikasi dunia itu.

 

Setiausaha tidak datang pagi itu. Hamed Kazim mengamuk. Dia panggil saya masuk ke pejabat. Saya terus masuk tanpa mengetahui apa-apa.

 

“Saya mahu lantik kamu sebagai setiausaha!”

 

Saya terkejut.

 

“Kamu datang sebelum saya datang, pukul 7 pagi. Siapkan makanan pagi. Lepas itu siapkan makan tengahari. Saya tiada pukul 12 hingga pukul 4. Saya pulang pukul 10. Pastikan ofis ini bersih dan kemas. Awak handle semua call untuk saya!”

 

Saya masih terkejut. Terperanjat besar dengan pelantikan itu!

 

Menjadi setiausaha kepada CEO? 

 

(bersambung)

 

 
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Orang lain mabuk, orang lain pula kena bayar

Bila UAE longgarkan undang-undang Islam

Pengerusi Media Arab yang Mabuk

Tinggal setahun di apartmen depan kubur luas

TIDAK LAGI DITANYA GAJI SEMASA MAKAN TENGAHARI

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City