Terpaksa masuk penjara Dubai bersama Cat Stevens
DUA syarikat belum bersedia dari segi pejabat untuk menerima saya. Satu hal yang baik untuk saya melayan tetamu di Internet City sambil membaca untuk persediaan kerja baru.
MINGGU LEPAS : Pegang 2 jawatan serentak di Dubai, serta uruskan Cat Stevens
Saya telah bertemu dan berkenalan dengan semua ahli lembaga pengarah PCFC. Masing-masing masih muda dan CEO untuk projek telekomunikasi adalah Dr Osama Ah Ali, seorang Syiah dari Bahrain. Saya pula COO yang bertugas dua jawatan selain Pengurus Besar kepada Cat Stevens.
Ini adalah dua kerja yang memerlukan komitmen dan dedikasi sepenuhnya. Tidak seperti kerja-kerja sebelumnya di TV3, Riyadh, Dubai Internet City, Dubai Media City dan Dubai Satelit saya mempunyai bos, kini saya menjadi bos.
Sementara itu Cat Stevens atau Yusuf sudah mempunyai banyak agenda yang tersendiri. Saya terpaksa membahagikan masa dengan DuTel agar tidak bersilisih.
Cat menghantar emel untuk kesinambungan jadual acaranya di Dubai termasuk pertemuan dengan peminat dan konsert. Saya teruja kerana pertama kali terlibat dengan persembahan artis yang bertaraf dunia seperti Cat Stevens.
Dalam pada itu saya terus memilih kontraktor untuk pejabat Cat Stevens di Dubai Media City. Bangunan baru seluas untuk tiga orang. Saya berbincang dengan kontraktor untuk hiasan dalaman yang cantik.
Cat Stevens begitu menjaga pejabat untuk ketenangan diri maka saya suruh dia memilih hiasan dalaman melalui emel. Setelah berkali-kali, barulah Cat berpuas hati.
Untuk DuTel, agak mudah hanya menyerahkan pada PCFC untuk pejabat baru. Pejabat agak luas dengan bilik mesyuarat dan pelbagai kemudahan. Pejabat saya juga besar dengan ruang tamu.
Tiba-tiba dalam pada itu, Cat Stevens datang ke Dubai untuk ke Afrika Selatan. Saya terkejut tetapi bersedia apabila menerima emel.
Kata Cat melalui penerbangan Emirates dia dapat murah untuk tiket penerbangan dengan hampir £1,000. Saya pula tertanya-tanya, Cat yang kaya itu pun cukup berjimat cermat.
Saya mengambilnya di lapangan terbang dan dia memberitahu esok harus membawa dia ke penjara Dubai. Saya lagi terkejut. “Penjara?”
Cat ketawa. “Saya dijemput pengarah penjara untuk berdakwah pada banduan.” Saya cuma diam kerana saya tidak pernah ke penjara Malaysia apalagi di tempat orang.
“Bila?” tanya saya. “Esok.”
Saya singgah di restoran untuk Cat dan makan bersama. Kemudian terus menghantarnya ke hotel. Esoknya, saya sudah bersiap sedia untuk ke penjara lama di Satwa (kini diruntuhkan untuk projek hartatanah). Dengan mengambil Cat di hotel dan terus pergi ke penjara.
Disambut dengan mesra oleh Ketua Polis Dubai, Pengarah Penjara Dubai dan staf. Kami dibawa ke pejabat pengarah yang luas. Pengarah bercerita tentang penjara Dubai yang baru dan sedang dibina untuk menggantikan bangunan sekarang.
Kami dibawa ke seluruh penjara dan dalam pemerhatian saya, penjara Dubai nampak lebih seperti asrama. Pesalah tidak dipanggil banduan dan slogan penjara ialah, “Manusia Lebih Penting Dari Tempat”. Penjara ‘terbuka’ dengan banduan bebas bergerak kecuali yang menerima hukuman tertentu.
Kami ditunjukkan model besar penjara baru yang sedang dibina ketika itu dan dianggap paling canggih di dunia. Rekabentuknya berdasarkan ‘keselesaan’ dan ‘kemanusiaan’. Malah secara bergurau, ketua polis berkata, penjara baru di Al Awir itu mungkin lebih baik dari hotel empat bintang.
(Begitulah realitinya dari cerita mereka yang pernah menumpang di penjara baru tersebut dan ada yang rela menjadi banduan. Bagai bercuti di hotel empat bintang dengan makan dan masa lapang yang cukup. Ada kawan orang putih yang dimasukkan ke situ kerana mabuk dan penahanannya dianggap sebagai percutian yang damai!)
Kami dibawa ke perpustakaan yang lengkap dengan kebanyakan buku mengenai pemahaman dan dakwah Islam dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Indonesia. Tercari-cari buku dakwah dalam bahasa Melayu tetapi tidak terjumpa. (Masa itu ada banduan Malaysia, tetapi bukan Islam)
Memeranjatkan kerana ada banduan yang dibenarkan membuat urus niaga melalui telefon dan internet. Kami melihat sendiri kesibukan mereka dalam sebuah bilik khas untuk urusan bisnes. Mereka adalah kebanyakan banduan kolar putih. Penjara membenarkan mereka membuat urus niaga supaya punca pendapatan mereka tidak tergendala!
Salah satu insentif kepada banduan Islam ialah kelas menghafal al-Quran diadakan. Bagi setiap banduan yang dapat menghafaz al-Quran sepenuhnya, antara ‘hadiah’ ialah dibebaskan sepenuhnya bergantung kepada kesalahan. Kalau dapat menghafaz jumlah surah tertentu, hukuman juga dikurangkan. Usaha ini menerima sambutan hebat dan ramai yang sudah dibebaskan sebagai hafiz dan hafizah!
Bagi banduan bukan Islam, pencerahan kepada Islam dilakukan kepada mereka yang berminat dan secara sukarela mengikuti kelas dalam memahami Islam. Banyak aktiviti lain termasuk untuk banduan wanita seperti kelas senaman dan kemahiran.
Menurut pegawai, boleh dikatakan inisiatif penjara dalam dakwah memang berhasil dan hampir setiap hari ada yang memeluk Islam. Memang penuh dewan ceramah yang bersebelahan dengan masjid penjara. Yang hadir termasuk orang putih dan kebanyakan adalah warga India.
Seperti biasa, Yusuf berjaya memukau hadirin dengan cerita pengalaman beliau dalam mengenal dan memeluk Islam kepada banduan bukan Islam. Yusuf tidak menyebut al-Quran dan hadis. Soalan-soalan yang diberikan juga agak kritikal dan sinis, terutama dengan peristiwa September 11 yang berlaku.
Sehari selepas ceramah itu, pengarah penjara menelefon dengan tersedu tetapi membawa khabar gembira.
“Ya Akhi, hasil dari ceramah Yusuf, ada tiga orang menjadi Muslim!”
Sememangnya Yusuf Islam mempunyai aura dan karisma sebagai pendakwah. Bertuah saya untuk mengenali beliau secara dekat dan menjadi pengurus besar beliau di Dubai.
Usaha penjara Dubai berterusan ke hari ini dalam memanusiakan penjara dan banduan dengan roh Islam agar mereka yang bakal keluar diberi peluang kedua dalam kehidupan!
BERSAMBUNG...
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com
BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!
dan
Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai
Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai
Gergawi tanya : Are you on the take?
Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak