TIME beli bangunan KWSP Changkat Raja Chulan RM62 juta | DagangNews Skip to main content

TIME beli bangunan KWSP Changkat Raja Chulan RM62 juta

Foto: KLCC Office Space

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - TIME dotCom Bhd. (TIME) membeli bangunan pejabat pegangan bebas 13 tingkat bersama 95 ruang tempat letak kereta yang dikenali sebagai Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Changkat Raja Chulan pada harga tunai RM62 juta.

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TIME berkata, pembelian itu akan dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya AIMS Data Centre Sdn Bhd (ADC) dan ADC telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan KWSP untuk cadangan pemerolehan itu.

 


Cadangan pembelian itu akan membolehkan TIME mengembangkan kemudahan operasinya.

 

"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak diduga, dan tertakluk kepada pemenuhan syarat yang terdahulu, cadangan pembelian itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tanpa syarat (apabila syarat terakhir sebelum itu dipenuhi)," tambahnya.

 


Memetik laporan Bernama, kos asal pelaburan KWSP untuk bangunan itu pada 1994 ialah RM46.04 juta.

 

Nilai buku bersihnya yang belum diaudit pada 30 November 2021 ialah RM20.59 juta, menurut makluman tersebut. - DagangNews.com