UOB Malaysia sumbang komputer riba kepada kanak-kanak rentan | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia sumbang komputer riba kepada kanak-kanak rentan

MOHD FHAUZI MURIDAN (kiri) selepas menyampaikan sumbangan laptop dan baju raya kepada kanak-kanak di Raudhatul Al-Faeez.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, UOB Malaysia telah menyumbang 15 komputer riba kepada kanak-kanak rentan dari latar belakang sosioekonomi yang mencabar bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran secara dalam talian ketika tempoh penutupan sekolah.

 

Komputer riba tersebut diedarkan ke rumah kanak-kanak Raudhatul Al-Faeez dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di bawah Program My Digital Space UOB.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Islam, UOB Malaysia, Mohd Fhauzi Muridan berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang bank untuk membantu masyarakat rentan, terutama kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

 

“Pandemik ini telah menonjolkan kisah kanak-kanak kurang bernasib baik yang tidak mempunyai akses kepada sumber pendidikan yang mencukupi. Tanpa alat pembelajaran digital yang sesuai, kanak-kanak ini kemungkinan besarnya akan ketinggalan dalam pelajaran mereka, justeru meluaskan lagi jurang pendidikan.

 

“Program My Digital Space UOB bertujuan untuk merapatkan jurang ini selain menyediakan peralatan dan kaedah yang diperlukan untuk mencapai pendidikan yang setara.

 

“Kami berharap sumbangan kami dapat memberikan bantuan, penjagaan dan pendidikan kepada kanak-kanak rentan dalam masyarakat kami untuk mengatasi cabaran di samping meneroka peluang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program My Digital Space UOB, program pendidikan yang dijalankan selama beberapa tahun, bertujuan merapatkan jurang digital kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh rantau ini dan menghubungkan mereka ke peluang pembelajaran digital yang meluas.

 

Dalam pada itu, UOB Malaysia turut menyumbangkan 27 set baju raya, tujuh loker keluli dan duit raya bagi kanak-kanak dari rumah Raudhatul Al-Faeez sebagai sebahagian daripada Program Bantuan #UnitedForYou COVID-19 global bank.

 

UOB
MOHD FHAUZI MURIDAN (kanan) menghulurkan duit raya kepada salah seorang kanak-kanak di Raudhatul Al-Faeez.

 

Jelas UOB Malaysia, sumbangan itu juga menyokong inisiatif pengantaraan berasaskan nilai Bank Negara Malaysia (BNM) untuk institusi kewangan mewujudkan kesan positif dalam masyarakat di tempat mereka berkhidmat.

 

Sementara itu, Pengasas Raudhatul Al-Faeez, Zahrina Mohd Saat meluahkan kegembiraan apabila melihat syarikat seperti UOB Malaysia mengambil langkah untuk membantu kanak-kanak di bawah penjagaan mereka yang menghadapi kesukaran mengikuti pendidikan akibat pandemik ini.

 

“Kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini menghadapi pelbagai masalah untuk mengakses pendidikan dalam talian ketika pandemik. Sesungguhnya, sumbangan bank akan membantu mengurangkan kerisauan mereka,” kata Zahrina menerusi kenyataan sama.

 

UOB melancarkan Program Bantuan #UnitedForYou COVID-19 globalnya pada 2020 untuk membantu meringankan beban kewangan atau kesusahan yang dihadapi oleh ramai orang dalam tempoh sukar ini melalui pelbagai inisiatif.

 

Ini termasuk skim bantuan untuk menolong pelanggan yang terjejas oleh pandemik COVID-19 di samping pelbagai inisiatif untuk menyokong pelanggan, kakitangan dan masyarakat untuk jangka masa panjang. - DagangNews.com