Skip to main content

Varian baharu COVID-19 dan sektor pelancongan

PETUGAS memastikan bakal penumpang pesawat sudah melakukan ujian COVID-19 di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Gambar Awani Astro

 

Oleh DR ZULKHAIRI AZIZI ZAINAL ABIDIN

 

 

SEKTOR pelancongan yang telah dibuka semula sejak September lepas telah memberi nafas baru kepada pemain industri pelancongan.

 

Kehadiran pelancong ke destinasi-destinasi menarik untuk bercuti dan bersama keluarga telah membantu mengurangkan beban ekonomi pemain industri pelancongan.

 

Pada masa yang sama, usaha kerajaan dalam mengawal COVID-19 tetap diteruskan.

 

Walaubagaimanapun, kewujudan varian baru Omicron telah menimbulkan beberapa tanda-tanya.

 

Lebih membimbangkan apabila seorang pengembara dari Afrika Selatan yang masuk ke tanah air menerusi Singapura telah dikesan dijangkiti Omicron.

 

Sejauh mana kewujudan varian baru ini akan menjejaskan sektor ekonomi, khususnya pelancongan?

 

Sehingga 28 November lalu, World Health Organization (WHO) masih tidak mempunyai maklumat menyeluruh tentang varian Omicron.

 

Pemerhatian awal di beberapa negara yang terjejas mendapati varian ini hanya mendatangkan gejala ringan.

 

Penyelidik Amerika Syarikat, Anthony Fauci, pada 8 Disember juga menyatakan varian Omicron kurang berbahaya berbanding varian Delta tetapi mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

 

Anthony Fauci
                                     Anthony Fauci

 

Data semasa di seluruh dunia juga menunjukkan masih tiada kematian direkodkan disebabkan oleh varian Omicron.

 

Rata-rata negara termasuklah Malaysia telah mengambil pendekatan proaktif dengan menutup sempadan antarabangsa masing-masing dari pengunjung negara yang terjejas dengan varian Omicron.

 

Tidak dapat dinafikan tindakan penutupan sempadan adalah langkah paling sesuai dalam mengurangkan risiko penularan varian baru COVID-19 tersebut.

 

Hal ini menunjukkan ancaman COVID-19 masih sama – sehingga kita ada kepastian menyeluruh yang lebih tepat dari pakar perubatan tentang varian baharu ini.

 

Perkembangan semasa varian Omicron ini memberi gambaran yang sektor pelancongan domestik berkemungkinan tidak akan teruk terjejas.

 

Ini disebabkan oleh tiga faktor:

  1. Kadar vaksinasi di negara kita yang tinggi. Keberkesanan vaksin telah terbukti mampu mengurangkan peratusan jangkitan dan kesan jangkitan.

    Sungguhpun kemampuan vaksin dikatakan boleh menurun, penawaran booster shot oleh pihak berwajib mampu memberi perlindungan tambahan.

    Syarat vaksinasi lengkap untuk membuat tempahan pelancongan juga mendorong kadar pengambilan vaksin sekaligus boleh mengurangkan risiko penularan jangkitan.

 

  1. Tindakan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka masih dikuatkuasakan.

    Penguatkuasaan juga digiatkan di destinasi pelancongan, sekaligus membantu mengurangkan risiko penularan jangkitan.

 

  1. Tahap kesediaan pihak berwajib yang lebih baik. Inisiatif travel bubble dan mobilisasi kesihatan awam secara tersusun di kawasan berhampiran destinasi pelancongan dilihat amat berkesan dalam mengawal penularan jangkitan setempat dan merawat pesakit yang dijangkiti.

    Berbeza pula dengan pelancongan antarabangsa. Pemulihan industri pelancongan bagi segmen ini sangat bergantung kepada perkembangan COVID-19 di peringkat global dan tindakan serta dasar kerajaan.

 

Namun, tidak bermakna kita boleh leka dan mengambil ringan terhadap situasi ini. Kemungkinan peningkatan kadar jangkitan baru di Malaysia tetap ada jika amalan dan penguatkuasaan SOP sedia ada diringankan.

 

Lebih dahsyat jika varian baharu yang lebih berbahaya pula wujud dan bermula di negara kita!

 

cuti
ORANG ramai bersesak-sesak di jeti feri menuju ke Langkawi selepas kebenaran merentas negeri diberikan.

 

Pengoperasian sektor pelancongan menandakan pertambahan interaksi sosial. Peningkatan interaksi sosial memungkinkan peningkatan jangkitan, sekaligus risiko mutasi virus dan kewujudan varian baharu.

 

Sejauh mana masyarakat kita kekal waspada terhadap mutasi virus bergantung kepada tahap kesedaran dan persepsi individu.

 

Teori psikologi ada mencadangkan yang persepsi risiko individu boleh berkurangan selari dengan masa dan apabila ancaman tersebut dilihat bukan lagi sebagai sesuatu yang baru.

 

Ini bermaksud, individu mungkin tahu bahawa Omicron adalah varian baharu COVID-19. Tetapi individu yang sama juga boleh beranggapan tiada apa yang baharu dan perlu diambil berat.

 

Selepas dua tahun berdepan dengan COVID-19 ini, persepsi sebahagian individu mungkin sudah berubah dan menyebabkan mereka leka dengan ancaman COVID-19.

 

Varian ini tetap memberi ancaman kesihatan yang sama khususnya kepada kelompok lebih berusia atau dengan komorbiditi, hanya mungkin pada tahap yang berbeza.

 

Mengambil iktibar penularan varian Delta, sewajarnya kita mengambil langkah proaktif dan berjaga-jaga. Pendekatan komunikasi risiko yang mengambil kira aspek temporal (masa) amat perlu ditekankan.

 

omitron

 

Maklumat tentang proses mutasi dan pembentukan pelbagai varian baru melangkaui sempadan geografi juga boleh disampaikan.

 

Bukan itu sahaja, kandungan penyampaian seperti ini perlu disampaikan ke semua kategori demografi dan disampaikan dalam bahasa yang mudah.

 

Kita tidak mahu masyarakat menjadi alpa dan hilang kepercayaan terhadap ancaman yang wujud.

 

Usaha memerangi COVID-19 memerlukan kerjasama sektor perubatan dan ekonomi, termasuklah sektor pelancongan.

 

Orang awam mungkin bergantung kepada vaksin yang dibangunkan oleh ahli perubatan untuk membolehkan mereka pergi berziarah, bersukan, atau melancong.

 

Ahli-ahli perubatan pula mengharapkan semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam aktiviti harian mereka bagi mengelakkan jangkitan yang juga memungkinkan kewujudan varian baharu lebih berbahaya. – DagangNews.com

 

Dr. Zulkhairi Azizi Zainal Abidin adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia