Waspada jangan gelojoh - peringatan kepada newbie saham
SETIAP pelabur mahupun pedagang saham perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, rasional dan tidak membuat tindakan yang terburu-buru dalam membuat keputusan samada membeli mahupun menjual saham.
Memandangkan Cikgu Saham merupakan seorang wakil peniaga berlesen atau remisier maka Cikgu Saham telah melihat banyak tindak-tanduk yang tidak bersesuaian dilakukan oleh newbie dalam aktiviti perdangangan saham di pasaran saham Bursa Malaysia.
Cikgu Saham rumuskan seperti berikut:
1. Belajar saham merata-rata.
Orang-orang yang baharu didedahkan kepada dunia pelaburan saham tidak dinafikan akan merasa amat teruja dan tidak sabar untuk mengikuti kelas pembelajaran saham satu persatu dahulu.
Mereka juga tidak memikirkan langsung tentang yuran yang dikenakan hinggakan ada yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit semata-mata mendapatkan ilmu asas pelaburan saham.
BACA JUGA : Kesalahan yang kerap dilakukan oleh newbie dalam urus niaga saham
Ada juga yang mengandaikan bahawa dengan mempunyai banyak tenaga pengajar saham, mereka menjadi lebih cekap dan cenderung membuat lebih banyak untung.
Mereka tidak sedari bahawa untuk memahirkan diri dalam satu-satu bidang memerlukan tempoh masa yang agak lama serta pemantauan dan bimbingan yang berterusan dari guru atau tenaga pengajar tersebut.
Walaupun mereka masih belum betul-betul faham apa yang dipelajari di dalam kelas atau bengkel, mereka masih tetap meneruskan pencarian kelas-kelas yang lain.
2. Ramai newbie yang tidak sabar untuk beli mahupun jual saham apabila akaun CDS (Central Depository System) telah siap.
Golongan ini lebih-lebih lagi yang mempunyai modal di dalam trust account akan terus membeli saham tanpa merujuk kepada agen atau remisier. Mereka membuat pembelian saham sesuka hati tanpa membuat analisis atau kajian saham.
Ada yang langsung tidak mempunyai ilmu asas pasaran saham tetapi amat galak membuat beli dan jual saham memandangkan proses membeli saham menggunakan telefon bimbit amat mudah. Walaupun semasa pasaran tidak sesuai dimasuki mereka aktif membuat beli dan jual saham persis seorang pedagang saham profesional.
3. Tidak sabar untuk tunggu harga saham yang dibeli itu naik.
Terdapat ramai newbie yang melakukan transaksi intrahari atau beli dan jual saham dalam hari yang sama walaupun mereka tidak mempunyai kepakaran dalam dagangan singkat.
Justeru, membuat pembelian dan penjualan saham tanpa ilmulah yang selalu menyebabkan newbie ini menjual saham terlalu cepat walaupun saham yang dibeli itu mempunyai potensi naik lebih tinggi.
Biasanya golongan ini membeli saham berpandukan nasib. Mereka jarang membuat pembacaan atau mencari maklumat atau prospek syarikat tersenarai.
4. Nak buat untung dengan cepat iaitu dalam masa empat hari.
Walaupun Bursa Malaysia menyediakan fasiliti urus niaga secara kontra, sebagai orang baharu yang mula menceburkan diri di dalam pasaran saham perlu mempunyai konsep beli dan simpan. Jual saham hanya jika harga saham tersebut naik.
Jual apabila saham tersebut telah menghasilkan keuntungan dan bukan menjual saham jika dalam keadaan rugi. Ramai dalam kalangan newbie yang terpengaruh dengan slogan-slogan untuk menjual saham yang sedang jatuh atau cut loss.
Biasanya tindakan ini hanya dilakukan oleh pemain saham profesional yang mempunyai matlamat dan juga modal pelaburan yang besar. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan semasa pasaran jatuh dan mereka juga tahu untuk membuat keuntungan dari urus niaga yang lain untuk menutup kerugian terdahulu.
Terdapat juga newbie yang menjual saham yang sedang jatuh pada hari yang sama dia membeli saham tersebut dan kemudiannya saham itu naik semula. Dengan tindakan sedemikan membuatkan dia rugi sekelip mata.
5. Tidak sabar untuk membeli saham dengan harga yang lebih rendah semasa pasaran sepi atau semasa harga saham belum bergerak naik.
Ramai pemain saham yang gemar membeli saham semasa harga saham sedang bergerak naik. Ya, ada ketika harga saham tersebut akan terus naik walaupun membeli pada yang yang tinggi.
Tetapi banyak juga keadaan yang mana apabila terdapatnya pengambilan untung, harga saham tiba-tiba jatuh dan ini menyebabkan pedagang saham tersangkut membeli pada harga tertinggi.
Apabila keadaan ini berlaku, ia akan mencetuskan perasaan panik dan sudah tentu mereka akan menjual saham tersebut walaupun rugi kerana khuatir harga saham akan jatuh lagi jika lambat bertindak.
Dengan membeli saham syarikat tersenarai sebelum harganya naik dapat mengurangkan risiko kerugian dan juga pedagang saham dapat mengurangkan tekanan perasaan berbanding jika membeli saham semasa harga saham bergerak laju.
6. Tidak mahu menuntut ilmu pelaburan atau perdagagan saham, tidak suka membaca atau mencari maklumat pasaran.
Sebagai orang baharu dalam dunia pelaburan saham, anda perlu menjadikan pembacaan dan mencari maklumat pasaran sebagai rutin harian.
Dengan memperoleh maklumat dan data pasaran yang cukup dapat mengurangkan pelabur dan pedagang saham dari membuat kesilapan dan juga dapat meningkatkan dalam membuat keuntungan semasa membeli dan menjual saham.
Newbie juga disarankan untuk banyak bertanya agen atau remisier apa-apa tentang pasaran saham dan juga minta pendapat dan tunjuk ajar sebelum membeli mahupun menjual saham syarikat-syarikat tersenarai.
Belajar sedikit demi sedikit atau perlahan-lahan dapat menghindarkan pelabur dan pedagang saham dari membuat kerugian yang ada kalanya merupakan satu jumlah yang besar jika kesalahan ini kerap dilakukan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com
Cikgu Saham Zuraida juga merupakan penulis buku saham "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Kepada yang berminat boleh dapatkan buku ini dengan hubungi talian 017-3084787.
KOLEKSI CIKGU SAHAM:
2 TAHUN BELAJAR SAHAM DENGAN GURU YANG SAMA
Panduan untuk kawal emosi semasa berurus niaga saham
SERBA TAK KENA BILA BERJUAL BELI SAHAM
Jangan panik semasa bursa tidak menentu
Dagangan tinggi tidak semestinya bermakna saham akan naik juga
Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?