Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 Dis - Momentum pemulihan ekonomi negara akan berterusan sehingga tahun hadapan yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang kukuh pada 6%, menurut MIDF Research dalam laporan prospek ekonomi 2022.
Bagi 2021, firma itu mengunjurkan KDNK pada 3.7% setelah ekonomi negara kembali mencatat pertumbuhan negatif -4.5% pada suku ketiga, disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang telah menjejaskan perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan.
Namun, katanya, ekonomi akan mencatat pertumbuhan yang lebih baik pada suku keempat ini apabila sekatan pergerakan dilonggarkan yang akan menyaksikan aktiviti ekonomi domestik kembali meningkat secara berperingkat.
"Ini akan meneruskan pemulihan pada 2022, tambahan pula perbelanjaan kerajaan akan terus menyumbang secara positif kepada pertumbuhan, dengan mengambil kira pengembangan Bajet 2022 dan peruntukan tinggi bagi perbelanjaan pembangunan.
"Pada masa sama, pertumbuhan permintaan luaran bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi akan terus menyokong aktiviti dagangan luar Malaysia pada tahun hadapan," katanya hari ini.
Selain perbelanjaan pengguna yang akan kembali pulih, semua sektor turut dijangka mencatat prospek yang lebih cerah pada 2022.
Malah, MIDF Research turut menjangkakan kadar inflasi akan kekal stabil pada 2.1% tahun hadapan di sebalik gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan kos pengeluaran.
"Pada tahun hadapan, kami berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.00% pada separuh kedua memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin mengukuh dan inflasi pula kekal stabil," tambahnya.
Setakat ini, hutang isi rumah kepada KDNK merosot kepada 89.6% pada akhir Jun 2021 (berbanding 93.2% pada akhir 2020) memandangkan ramai peminjam menggunakan simpanan mereka ketika pandemik untuk membayar hutang.
"Secara keseluruhan, kami mengharapkan sebarang pelarasan dasar oleh BNM akan memastikan kestabilan pertumbuhan tidak terhalang di samping mengekalkan inflasi dalam kawalan," jelasnya.
Walaupun optimis dengan prospek pemulihan tahun depan, firma itu menyedari terdapat beberapa isu pada tahun ini mungkin berlarutan ke 2022 yang menyebabkan kemungkinan kesan negatif.
Ini termasuklah penemuan varian baharu COVID-19 iaitu Omicron, tekanan inflasi berterusan, penarikan balik dalam pasaran hartanah China dan kemungkinan pilihan raya umum ke-15 di Malaysia.
"Dalam senario yang dinyatakan, isu-isu ini mungkin akan membawa gangguan dalam pemulihan ekonomi. Akan tetapi, kami berpendapat bahawa mana-mana peristiwa ini, sama ada berlaku secara berasingan atau gabungan, tidak akan menjejaskan proses pemulihan.
"Namun begitu, kemungkinan isu ini menjadi lebih buruk daripada jangkaan tidak boleh diketepikan berdasarkan pengalaman tahun ini. Oleh itu, pelabur perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang risiko pada tahun hadapan," jelasnya.
Kadar pengangguran 4%
Prospek ekonomi yang lebih baik ini akan terus membantu memperkukuhkan kembali pasaran pekerjaan di Malaysia yang terjejas teruk akibat PKP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.
"Bagaimanapun, kami menganggarkan kadar pengangguran akan kekal sekitar 4.5% tahun ini, sama seperti tahun lalu.
"Tetapi kadar pengangguran ini dijangka menurun pada 4% tahun hadapan apabila lebih ramai mula memasuki pasaran pekerjaan," jelasnya.
Inisiatif kerajaan seperti JaminKerja, program subsidi upah bersasar dan MySTEP dilihat akan terus menyokong pertumbuhan pekerjaan pada tahun hadapan.
Bagi sektor perladangan dan pembinaan pula, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan bekalan pekerja asing akan membantu mengurangkan masalah kekurangan pekerja yang telah menjejaskan produktiviti tahun ini.
Namun, firma itu berkata, sebarang kenaikan semula jangkitan COVID-19 dan kemunculan varian baharu akan menjadi antara risiko penurunan kepada prospek ekonomi negara pada tahun hadapan.
"Ini sekali lagi akan menjejaskan prospek jangka pendek bagi aktiviti domestik dan juga pengambilan pekerja," katanya.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS
MIDF Research menjangkakan ringgit akan mengukuh pada RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2022 berbanding RM4.15 pada akhir tahun ini.
Menurutnya, lebihan akaun semasa yang berterusan dan aliran masuk dana ke Malaysia dijangka akan terus menyokong pengukuhan ringgit pada tahun hadapan.
"Secara umumnya, kami melihat ringgit akan mengukuh disokong prospek pertumbuhan yang lebih baik dan kecenderungan pelabur terhadap pasaran ekonomi baharu muncul termasuk Malaysia.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang akan mengehadkan pengukuhan mata wang tempatan ini, antaranya, pengetatan dasar yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi dengan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang akan membawa kepada peningkatan permintaan terhadap dolar AS," jelasnya.
KLCI diunjur pada 1,700 mata
Dalam pasaran ekuiti, adalah tidak menghairankan apabila prestasi FBM KLCI kurang memuaskan berbanding prestasi pasaran serantau oleh kerana dilanda kebimbangan luaran dan domestik pada 2021.
Setakat 2 Disember 2021, indeks telah jatuh -7.7% pada asas tahun sehingga kini. Dari segi aliran dana asing, pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM2.4 bilion tahun ini.
Bagaimanapun, pada Ogos, ia menyaksikan kembalinya dana asing. Dalam tempoh 11 Ogos 2021 hingga 2 Disember 2021, aliran masuk bersih dana asing berjumlah RM3.61 bilion, menyebabkan pengurangan kedudukan jualan bersihnya.
Menjelang 2022, firma itu melihat senario dasar berpandukan kepada kecairan tunai kekal mencukupi tetapi dengan polisi kewangan yang lebih ketat dan sebarang peningkatan kes COVID-19 boleh membawa kepada pelaksanaan semula langkah pembendungan namun tidak akan mengakibatkan penutupan seluruh negara kerana kadar vaksinasi yang tinggi.
Selain itu, pihak berkuasa di China akan pro-aktif mengendalikan situasi pasaran hartanahnya dan menarik semua sekatan untuk mengelakkan kejatuhan sistemik sekali gus mengelakkan risiko penularan rentas sempadan dan pilihan raya umum, jika berlaku mungkin tidak menyebabkan tindakan harga negatif selepas pilihan raya.
"Kami menjangkakan situasi dinamik bakal muncul dalam ekonomi sebenar dan menjadi refleksi terhadap ekonomi kewangan.
"Malah, kami percaya faktor-faktor ini akan mempengaruhi sentimen pelabur secara positif dan membawa kepada prestasi yang lebih baik bagi pasaran ekuiti negara dan rakan serantau," jelasnya.
Sehubungan itu, MIDF Research menganggarkan indeks utama FBM KLCI akan berlegar pada paras 1,700 mata menjelang akhir 2022, pada PER tersirat 16.5x bersamaan dengan purata sejarah 10 tahunnya.
"Berdasarkan perbincangan kami mengenai prospek pasaran dan ekonomi, pada pendapat kami, tema yang akan menjadi tumpuan pada tahun hadapan tertumpu kepada prospek makroekonomi dan akan mencerminkan prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.
"Namun begitu, kami menyedari mengenai kemungkinan risiko penurunan dalam tempoh terdekat," jelasnya.
Selain itu, menurutnya, tema yang akan menjadi tumpuan pelabur pada tahun hadapan ialah kenaikan harga komoditi secara berterusan.
"Kami juga menjangkakan harga komoditi akan kekal pada paras tinggi. Harga minyak mentah Brent secara purata diunjur berada pada AS$75 hingga AS$80 setong manakala minyak sawit mentah secara purata pada RM3,300 satu tan metrik," katanya.
Dalam kalangan semua sektor, MIDF Research hanya menyemak turun sektor pembinaan kepada 'neutral' berbanding 'positif' sebelum ini.
Bagaimanapun, ia mengekalkan pandangan positif terhadap sektor automotif, perbankan, pengguna, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, perladangan, teknologi, media dan produk perindustrian.
Pandangan neutral pula dikenalkan untuk sektor sarung tangan getah, tenaga, hartanah, REIT, telekomunikasi, penerbangan, logistik dan pengangkutan. - DagangNews.com