7 juta pengguna terus nikmati diskaun bil elektrik TNB sehingga 31 Disember 2020 | DagangNews Skip to main content

7 juta pengguna terus nikmati diskaun bil elektrik TNB sehingga 31 Disember 2020

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan akan meneruskan diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus yang akan memberi manfaat kepada lebih 7 juta pengguna di Semenanjung Malaysia sehingga akhir tahun ini.

Dalam kenyataannya, TNB berkata, syarikat utiliti itu menyokong usaha kerajaan mengurangkan impak pandemik Covid-19 kepada rakyat dan langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.

Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, s
ebagai lanjutan kepada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), lebih 7 juta pengguna kediaman (Tarif A – Domestik) di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan elektrik bulanan dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.

 

TNB

 

“Inisiatif pelanjutan diskaun oleh kerajaan ini mengutamakan mereka yang memerlukan akibat pandemik Covid-19,” kata beliau.

TNB juga turut meneruskan tiga inisiatif berikut untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini:

  • Pelan Bayaran Mudah (pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan);
  • pengecualian surcaj lewat bayar (bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020); dan
  • penangguhan aktiviti pemotongan bekalan, kecuali:
  • permohonan daripada pengguna berdaftar; dan
  • arahan daripada pihak berkuasa.


“Tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19 adalah usaha kita bersama. Kita seharusnya mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain dalam waktu sukar ini,” kata Ir. Megat Jalaluddin lagi. - DagangNews.com