Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 11 Jan 2021 07:00 AM
WasiyyahShoppe

 

Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB ?

 

SEKALI lagi dalam penulisan kali ini saya menyentuh tentang tanggungjawab waris yang menerima harta pusaka dalam hukum faraid. Ini kerana selepas penulisan minggu lepas, ramai yang tanya saya apa kena mengena faraid dengan tanggungjawab? Bukankah kalau waris yang menerima faraid itu tak laksanakan tanggungjawab, maka dia tetap berhak ke atas harta pusaka itu? Faraidkan ketetapan Allah dan ia diterima tanpa apa-apa syarat.

 

Ramai pihak sebenarnya gagal atau mungkin juga enggan melihat bahawa terdapat pertalian di antara kedua-dua hak dan tanggungjawab walaupun ia tidak secara literal dinyatakan.

 

Inilah yang saya maksudkan dalam penulisan saya minggu lepas. Pendekatan pihak yang mengajar faraid hari ini yang memberi penekanan keterlaluan kepada ilmu berkaitan siapa waris yang berhak, berapa bahagian yang mereka berhak dan kaedah mengira matematik faraid, menyebabkan tenggelamnya hikmah sebenar, keadilan dan kecantikan sistem faraid.

 

BACA JUGA ANEKDOT MAWARITH 4 JANUARI 2021 : FARAID DAN TANGGUNGJAWAB 

 

Semua pihak yang berhak ke atas harta pusaka merasakan bahawa itu adalah hak mutlak mereka yang mesti dituntut. Kalau tak dituntut, berdosa katanya.

 

Beberapa tahun lepas selepas satu ceramah di sebuah masjid di utara Semenanjung Malaysia, seorang pakcik datang bertanya kepada saya tentang struktur faraid arwah adiknya yang hanya mempunyai seorang anak perempuan tunggal. Ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia. Saya jelaskan bahawa waris yang berhak ke atas harta pusaka adiknya ialah isteri simati 2/16 bahagian, anak perempuan simati yang masih kanak-kanak itu mendapat 8/16 bahagian dan dirinya sendiri sebagai saudara kandung tunggal 6/16 bahagian. Dia nampak seronok dan gembira sangat selepas dapat jawapan dari saya. Dicongak-congak, katanya hak dia hampir RM300,000 !

 

Tak berapa lama selepas itu dalam kereta ketika perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya menerima panggilan telefon dari pakcik ini. Mungkin dia buka speaker telefon agaknya sebab dengar suara beberapa orang di dalam telefon itu. Dia sekali lagi minta saya jelaskan siapakah waris yang berhak ke atas harta pusaka adiknya. Saya bagikan jawapan yang sama.

 

“Kalau saya tak tuntut bahagian saya ni tadi ustaz habaq berdosakan? Allah dah tetapkan bahagian saya maka saya mesti tuntutkan? Kalau depa tak nak bagi bahagian saya depa kena bayar saya ikut nilai bahagian itu kan? Dekat RM300,000 tu depa mesti bayar kat saya!” Tanya pakcik ni sambil membahasakan saya ustaz.

 

Saya dapat merasakan yang mungkin isteri simati pun sedang mendengar perbualan itu sebab lain macam bunyi soalan dia. Saya tak pernah pulak cakap kat dia yang kalau dia tak tuntut bahagian dia hukumnya berdosa.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

“Bahagian faraid memang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Itu memang hak pakcik. Itu jelas. Ya betul, kalau pakcik setuju, depa boleh tebus bahagian pakcik dengan bayaq RM300,000 tu.  Tetapi pakcik perlu faham pakcik terima hak itu yang datangnya bersama tanggungjawab sebagai wali kepada anak menakan pakcik yang masih kecil. Pakcik ada tanggungjawab memastikan nafkah, keselamatan, kebajikan, pelajaran, kesihatan anak menakan ni sehinggalah hari pakcik menikahkan dia dengan suaminya. Barulah lepas tanggungjawab pakcik.”

 

“Saya ada tanggungjawab wali ?” Tanya dia seakan-akan terperanjat.

 

Saya sambung lagi, “Ya pakcik walinya yang sah. Di dalam hukum juga ada apa yang dipanggil ‘takharruj’ iaitu perlepasan bahagian faraid secara sukarela. Jika pakcik secara sukarela lepaskan bahagian yang sepatutnya pakcik dapat tu kepada anak menakan (anak saudara) pakcik yang masih kecil tanpa mengabaikan tanggungjawab pakcik sebagai wali, saya percaya anak menakan pakcik yang masih kecil tu dan adik ipaq pakcik akan respect dan sayang pakcik lebih lagi lepas ni dan hubungan pakcik dengan depa mesti lebih mesra lagi!” Jawab saya.

 

“Oh gitu ka? Tak apalah terima kasih.” Terdengar nada kecewa suara pakcik ni mungkin sebab saya tak menyokong hujah ‘tak tuntut berdosa’ dia atau mungkin juga terfana kena ceramah melalui telefon saya. Talian terputus selepas itu.

 

Inilah sebenarnya mentaliti kebanyakan masyarakat Malaysia tentang faraid. Mereka sibuk menuntut hak tetapi tidak melihat aspek kepertanggungjawaban terhadap waris yang lain. Inilah antara punca kenapa anak saudara tak hormat bapa saudara dan ibu saudara yang menerima harta pusaka.

 

Anak saudara merasakan ibu bapa saudaranya hanya pentingkan harta sahaja. Selepas dapat harta pusaka, batang hidung pun tak nampak. Terkial-kiallah anak saudara itu meneruskan perjalanan kehidupan sebagai anak yatim dengan ibunya tanpa bantuan dan sokongan ibu bapa saudara adik beradik arwah ayahnya.

 

Dalam banyak keadaan, si balu meneruskan kehidupan dengan sokongan moral dan kewangan dari adik-beradiknya sendiri. Adik-beradik dan ibu bapa sebelah suami ‘missing in action’ selepas mendapat bahagian pusaka.

 

Ini juga antara punca kenapa menantu hilang hormat kepada ibu bapa mertua. Bapa mertua yang menerima harta pusaka juga ialah wali kepada cucunya dan selalu juga saya terjumpa kes datuk ini tidak mempedulikan menantu dan cucunya selepas kematian anaknya. Tambah menghibakan ibu bapa mertua pula yang bersungguh-sungguh menghalau menantu dan cucunya dari rumah pusaka anak mereka dan berkeras menuntut setiap sen bahagian faraid yang mereka layak tuntut.

 

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, hukum faraid itu bersifat holistik. Ia menjaga maslahah masyarakat secara keseluruhan jika diselami roh sebenarnya. Ia bukan matematik menentukan siapa dapat berapa bahagian semata-mata. Ia bukan ilmu yang bersifat menjaga kepentingan individu semata-mata.  

 

Dalam membuat kerja ini, semenjak 23 tahun yang lepas, “I have a dream”. Apakah dia ‘dream’ saya itu ?

 

Di dalam ‘dream itu’ saya mahu melihat waris-waris yang berhak faham sepenuhnya hikmah faraid.  Ibu bapa saudara atau datuk nenek yang menerima bahagian akan mengambil tanggungjawab penuh menjaga kebajikan dan memberikan kasih sayang kepada  anak saudara atau cucu mereka yang merupakan anak yatim. Selalu mengambil berat tentang segala aspek kehidupan balu dan anak-anaknya. Hubungan semakin rapat, saling hormat menghormati dan kasih sayang makin subur sesama mereka.  

 

Di dalam ‘dream’ itu, saya mahu melihat ibu bapa saudara dan datuk nenek itu faham tentang ‘takharruj’ dan melepaskan bahagian hak mereka kepada anak saudara atau cucu mereka yang lebih memerlukan supaya kebajikan mereka lebih terbela. Tidaklah lagi kita mendengar kisah-kisah sedih anak yatim dan balu hidup merempat, nasib terjejas, tak cukup makan, tak boleh ke sekolah selepas kematian ayah mereka.

 

Walaupun saya katakan ia adalah ‘dream’ saya, namun saya tidak hanyut dibuat mimpi semata-mata. Melalui Wasiyyah Shoppe Berhad yang saya tubuhkan semenjak 2004, kami telah membantu lebih dari 70,000 orang Islam merancang harta. Insya-Allah, ‘dream’ saya ini akan tertunai melalui 70,000 orang ini.

 

Perancangan harta secara syariah yang mereka buat telah kami bangunkan dengan memasukkan ‘roh’ faraid ini. Waris mereka akan faham apakah bahagian mereka dalam faraid. Lebih penting lagi waris mereka akan faham hikmah dan tanggungjawab faraid. 

 

Anda sudah menjadi pengguna perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad? Kalau belum, bersegeralah merancang harta secara syariah bersama kami.  

 

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad​​​
ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

FARAID DAN TANGGUNGJAWAB

TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu