Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 19 October 2020

WasiyyahShoppe

 

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

 

 

MINGGU ini saya memilih untuk berbincang tajuk yang agak berat berbanding tajuk biasa yang saya bawa iaitu integriti. Integriti adalah sesuatu perkara yang banyak dilaungkan di Malaysia namun pelaksanaannya masih menjadi tanda soal yang besar.

 

Dalam keadaan Malaysia mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan pelbagai inisiatif diambil untuk menjadikan integriti sebagai amalan seperti penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM, Malaysia masih dilanda dengan pelbagai masalah integriti. Amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pecah amanah masih lagi dilihat berleluasa. Saban hari kita mendengar banyak pihak didakwa di mahkamah kerana kes-kes berkaitan integriti ini.

 

Ada kaitankah integriti dengan industri perancangan harta? Sekali imbas, kelihatannya macam tiada kaitan. Sebenarnya integriti juga merupakan satu elemen yang kritikal dalam industri perancangan harta.  Apabila masyarakat berurusan dengan mana-mana pihak untuk membuat perancangan harta, integriti ialah salah satu faktor yang mesti diambil berat dan menjadi pertimbangan, bukan sekadar harga sahaja.

 

Di dalam perancangan harta, masyarakat perlu pastikan bahawa dokumen yang dibuat dengan sesuatu pihak itu benar-benar patuh syariah dan boleh berkuatkuasa mengikut undang-undang. Persoalan ini berkaitan dengan integriti dokumen. Apa ertinya kita membuat dokumen perancangan harta jika ia tidak boleh berkuatkuasa?

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, dokumen dan perkhidmatan yang kami perkenalkan kepada masyarakat adalah seperti yang diluluskan oleh Panel Syariah kami yang terdiri dari mantan hakim syariah, ilmuwan di dalam bidang fiqh mawarith dan muammalat serta mantan pengarah/ketua penolong pengarah Pejabat Pusaka Kecil.

 

Mereka ini semua sangat berpengalaman dan berpengetahuan tinggi di dalam bidang penghartaan umat Islam. Sebelum sesuatu dokumen dan perkhidmatan itu diperkenalkan, ia melalui proses penyelidikan ilmiah, dibahas dapatannya di peringkat Jawatankuasa Teknikal Syariah kami sebelum dibahas dan didebatkan lagi di peringkat Panel Syariah secara terperinci untuk melihat kepada nas, hadis, pandangan ulama dan maslahah ummah termasuk juga kesan pelaksanaannya dari sudut undang-undang sivil.

 

Hanya selepas dipersetujui sama ada secara muafakat atau undian, dokumen atau perkhidmatan itu akan diperkenalkan kepada masyarakat. Ini standard integriti dokumen yang kami pegang bagi memastikan dokumen dan perkhidmatan kami boleh berkuatkuasa mengikut undang-undang.

 

Bagaimana pula masyarakat ingin tahu tentang integriti pengurusan organisasi itu pula? Lihatlah pula barisan Lembaga pengarahnya. Adakah mereka yang membarisi entiti tertinggi di dalam syarikat ini benar-benar orang yang berkelayakan dan berpengalaman? Semak laman web organisasi ini. Ada antara organisasi yang terlibat dalam perancangan harta di Malaysia, laman webnya tidak memaparkan langsung siapa Lembaga pengarah mereka.
 

 

Wasiyyah

 

 

Malah banyak juga ‘peneraju’ syarikat seperti ini yang namanya tidak tercatat di dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai pengarah atau pemegang saham. Jika mereka yang menerajui syarikat itu namanya tidak berdaftar di dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pastinya integriti mereka juga boleh dipersoalkan kerana ia seolah-olah mereka menyembunyikan sesuatu. 

 

Masyarakat perlu tahu bahawa syarikat amanah berdaftar seperti Wasiyyah Shoppe Berhad telah melalui proses saringan ketat sebelum diluluskan sebagai syarikat amanah. Kesemua Lembaga pengarah kami telah disaring ketat dari segi pengalaman, CCRIS, insolvensi dan rekod jenayah.

 

Saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, selepas dipilih oleh Lembaga Pengarah, telah menghadiri temuduga di Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan saya benar-benar layak dan faham tanggungjawab saya sebagai peneraju syarikat. Hanya selepas lulus temuduga pelantikan saya dianggap sah.

 

Kenapa begini ketat sekali saringan dikenakan ke atas syarikat amanah? Kerana pihak berkuasa ingin memastikan orang-orang di belakang syarikat amanah ini adalah orang yang dipercayai dan diyakini integritinya. Mana mungkin orang berstatus bankrap, mempunyai rekod jenayah atau berdepan masalah hutang peribadi tidak berbayar yang teruk, boleh diberikan amanah besar  menerajui syarikat di dalam industri perancangan harta kalau hartanya sendiri pun tidak mampu diuruskan?    

 

Wasiyyah Shoppe Berhad juga memberi penekanan yang sangat serius terhadap Pematuhan (compliance). Seksyen 17A SPRM yang telah berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020, difahami sepenuhnya oleh Lembaga Pengarah, pihak pengurusan, Kakitangan sehinggalah daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad, semuanya telah diterangkan dengan panjang lebar dan telah menandatangani akuan mengenai peruntukan seksyen ini. Latihan berterusan juga diberikan supaya semua pihak sentiasa diingatkan mengenai keperluan undang-undang ini.

 

Tadbir urus korporat dan had kuasa mengikut standard yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 2016, Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 100 dan Akta 208) dan Kod Tadbir Urus Malaysia (MCCG) 2000 menjadi panduan dalam proses pembuatan keputusan dan perjalanan operasi harian. Setiap individu di dalam organisasi mempunyai akauntabilitinya yang tersendiri. Standard integriti tinggi yang dipatuhi ini memastikan tidak berlakunya kes penyelewengan, salah guna kuasa, pecah amanah atau kejadian lain yang melanggar undang-undang sekaligus membantu organisasi beroperasi dengan cekap.

 

Masyarakat perlu faham bahawa hanya organisasi yang mempunyai integriti dan tadbir urus korporat terbaik sahaja yang mampu bertahan lama dan beroperasi dengan cekap. Kedua-dua elemen ini menjadi faktor penentu kepada pemberian perkhidmatan bersifat jangka panjang kepada masyarakat.  Manakala organisasi yang tidak mempunyai integriti dan tadbir urus korporatnya langsung tidak wujud, tidak mampu bertahan lama dan berkemungkinan besar gagal memberikan perkhidmatan seperti yang diingini oleh masyarakat.  

 

Jadi anda tanyalah diri sendiri, penting atau tidak integriti kepada syarikat yang terlibat dalam industri perancangan harta ini? Anda ingin merancang dengan organisasi yang mempunyai integriti terbukti atau sebaliknya ?

 

 

ariffinsabirin

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags