Orang Malaysia tidak tahu kos urus harta pusaka mahal! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 09 Nov 2020 07:00 AM
aaa

 

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

 

 

IBUBAPA yang tiada sifat altruisme akan mudah mengatakan “Aku dah susah-payah cari harta sepanjang hidup aku, lepas mati nanti pandai-pandailah anak aku uruskan.”

 

Kepada ibu bapa yang sebegini, sifat kasih sayang terhadap anak-anak sebenarnya sangat kurang di hati mereka. Mereka lebih mementingkan diri sendiri. Mereka tidak tahu bahawa salah satu dari cabaran yang terpaksa dihadapi oleh waris-waris mereka dalam menguruskan harta pusaka mereka ialah kos yang mahal!

 

Apa yang hampir semua orang Malaysia tidak tahu bahawa  kos untuk menguruskan harta pusaka adalah mahal jika tidak kena caranya. Benar memang semua proses perundangan untuk menuntut harta pusaka telah tersedia. Waris kita hanya perlu melalui sahaja proses itu.

 

Namun ada kos yang akan berlaku di sini. Apakah kosnya? Jika waris kita ingin menguruskan sendiri proses ini tanpa menggunakan perkhidmatan profesional pihak ketiga, kenalah ada di antara mereka yang sukarela mengambil inisiatif untuk melaksanakan semua tanggungjawab.

 

Perkara pertama yang mesti dibuat ialah mengenal pasti dimanakah kedudukan harta simati. Jika simati ada tanah atau rumah, di manakah lokasi hartanah itu?

 

Kenapa kena tahu? Kerana waris terpaksa pergi ke Pejabat tanah di mana hartanah itu berada  bagi mendapatkan carian rasmi. Carian rasmi ini diperlukan sebagai dokumen lampiran untuk permohonan bicara kuasa. Kalau dokumen ini tidak dilampirkan, maka Permohonan tidak lengkap dan tidak boleh diproses.

 

Bila waris nak buat  carian rasmi ini ada fi carian yang perlu dibayar kepada Pejabat tanah berkenaan bagi setiap keping tanah yang dibuat carian. Berapa fi carian ini? Setiap Pejabat tanah akan mengenakan fi yang berbeza-beza mengikut negeri masing-masing kerana tanah adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Fi dikenakan bermula dari beberapa puluh ringgit sehingga melebihi RM100.

 

Jika simati hanya meninggalkan sekeping tanah sahaja di Muar, maka tugas waris mudah kerana dia hanya perlu ke Pejabat tanah Muar sahaja. Tetapi jika simati mempunyai tanah di Mersing, Alor Setar, Kuala Terengganu, Seremban, Melaka, Ipoh dan Seberang Jaya, maka kiralah berapa banyak Pejabat tanah yang perlu dikunjungi oleh waris.

 

Kerja untuk mendapatkan carian rasmi bukannya boleh dibuat melalui atas talian. Semuanya memerlukan waris untuk pergi sendiri ke Pejabat tanah berkenaan pada hari bekerja dan waktu bekerja. Maknanya, waris yang sukarela ingin mengambil inisiatif ini perlu mengambil cuti dan mengeluarkan belanja sendiri untuk mengembara ke semua Pejabat tanah berkenaan.

 

Betul kos-kos ini sebenarnya perlu ditampung juga oleh semua waris yang lain kerana semua waris berhak ke atas hartanah ini tetapi hakikatnya waris yang sukarela itu bila nak menuntut dari waris yang lain kos perjalanan dan carian rasmi yang telah dikeluarkannya, bukan mudah untuk waris lain membayar. Akhirnya si sukarela itulah yang terpaksa menanggung semua kos bersendirian.

 

aaa

 

Waris ada pilihan lain jika tidak mahu bersusah payah ke sana ke sini nak mengumpulkan dokumen-dokumen ini. Mereka boleh juga menggunakan perkhidmatan pihak ketiga seperti syarikat amanah atau peguam. Namun waris kena faham bahawa ada fi juga yang kena dibayar kepada pihak ketiga bagi menjalankan tanggungjawab ini.

 

Mengikut Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959, fi yang boleh dikenakan oleh mana-mana pihak bagi menguruskan harta pusaka ialah sebanyak maksimum 5% dari nilai harta kasar simati.

 

Contohnya jika simati meninggalkan harta pusaka bernilai RM2,000,000 maka fi yang boleh dikenakan oleh pihak ketiga yang bertindak sebagai wasi / pentadbir ialah 5% darinya atau RM100,000. Fi ini pula tidak termasuk kos-kos lain yang mungkin terpaksa dikeluarkan sepanjang proses tuntutan harta pusaka berjalan seperti kos peguam, kos percetakan, kos carian rasmi, kos perjalanan dan lain-lain kos.

 

Dalam praktis di Malaysia, ada syarikat amanah yang mengenakan fi pengurusan pusaka dari 1% sehingga ke 5%. Ada juga yang mengenakan fi 2% tapi semuanya masih dalam peruntukan yang dibenarkan undang-undang iaitu maksimum 5%.

 

Peguam lebih fleksibel dan biasanya mengenakan fi mengikut kadar tetap seperti beberapa ribu ringgit berdasarkan komplikasi kes dan di mana kes itu dibicarakan iaitu sama ada di Pejabat Pusaka Kecil ataupun Mahkamah Tinggi Sivil. Semua pihak profesional ketiga ini mengenakan fi yang berbeza. Waris kena tanya dahulu isu fi ini sebelum melantik mana-mana pihak bagi menguruskan harta pusaka.

 

Bagi simati yang telah meninggalkan wasiat melantik wasi pula, kedudukan waris agak terikat terutamanya bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil. Ini kerana wasiat yang melantik wasi bagi kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil (harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta ), pelantikan wasi itu berkuatkuasa dari segi undang-undang yang membawa makna memang wasi itulah yang akan menguruskan harta pusaka. Jadi fi yang dikenakan beberapa peratus itu, memang perlu dibayar. Tiada pilihan.

 

Saya pernah terjumpa kes yang dikendalikan pihak profesional ketiga yang harta pusakanya bernilai hanya RM120,000 tetapi kos yang dikeluarkan seperti di atas mencecah sehingga RM40,000 iaitu 30% dari nilai harta pusaka! Namun berapa banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi menguruskan sesuatu kes pusaka sebenarnya bergantung kepada situasi kes itu sendiri kerana setiap kes adalah unik. Lagi panjang perbalahan sesama waris dan ada komplikasi lain, lagi banyaklah kos guaman yang terpaksa dibelanjakan.

 

Dari sumber mana pula fi dan kos ini ditanggung? Sekiranya simati ada meninggalkan wang tunai selain hartanah, maka wang tunai itu akan ditolak terlebih dahulu dengan fi dan kos berkenaan. Baki wang tunai itu barulah dipulangkan semula kepada waris sama ada mengikut kaedah faraid, sama rata atau apa-apa formula agihan yang dipersetujui waris.

 

Jika simati hanya meninggalkan hartanah sahaja tanpa wang tunai atau wang tunai yang ditinggalkan tidak mencukupi untuk menjelaskan fi dan kos berkenaan, maka warislah yang perlu menanggung fi dan kos itu. Apa jadi jika waris juga tidak berkemampuan untuk membayar? Apa jadi pula jika simati hanya meninggalkan waris-waris yang terdiri dari anak bawah umur 18 tahun sahaja? Siapa yang nak tanggung semua kos ini? Saya simpan soalan ini untuk dijawab dalam siri penulisan yang mendatang.

 

Wahai para pembaca sekelian, jika tidak tahu caranya waris anda akan berdepan dengan situasi kos pengurusan pusaka yang mahal ini. Baik harta pusaka itu ingin diuruskan sendiri oleh waris atau diuruskan oleh pihak profesional ketiga, tetap ada fi dan kos yang perlu ditanggung.

 

Jadi bagaimana kita nak bantu waris supaya tidak terbeban isu ini? Ada kaedahnya dan saya akan ceritakan dalam siri seterusnya. Jangan lupa ikuti ANEKDOT MAWARITH di DagangNews.com minggu hadapan.     

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?