KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Pertama.
RUMAH atau hartanah adalah antara aset paling berharga yang dimiliki kebanyakan kita. Semakin lama nilai rumah yang kita miliki juga semakin meningkat. Saya sebagai suami, seperti juga suami-suami lain, membeli rumah sebagai tempat untuk pasangan dan anak-anak saya berlindung. Ini tanggungjawab saya sebagai suami dan ketua keluarga, menanggung nafkah, makan pakai dan menyediakan tempat tinggal untuk mereka mengikut kemampuan saya.
Hari ini, hampir semua dari kita membeli rumah secara pinjaman bank. Ia adalah urf atau adat. Kalaupun kita ada wang tunai yang banyak, atas sebab percukaian dan lain-lain sebab, kita tetap akan menggunakan pinjaman bank/pembiaya untuk membeli rumah itu.
Tempoh bayaran untuk pinjaman bank/pembiaya ini pula bukan setahun dua. Malah mencecah sehingga 35 tahun. Selagi bayaran pinjaman belum diselesaikan sepenuhnya, bank/pembiaya mempunyai kepentingan ke atas rumah itu. Ini kerana sebagai syarat kepada pinjaman, bank/pembiaya akan mahukan cagaran dan rumah itu sendirilah merupakan cagarannya. Salah satu borang yang kita telah tandatangani dan dilaksanakan ketika pinjaman diproses ialah borang 16A iaitu borang cagaran kepada bank/pembiaya.
Apa yang sangat jarang kita fikirkan ialah apa yang akan berlaku sekiranya kita mati sebelum pinjaman itu habis dibayar? Apa yang akan jadi kepada rumah itu? Siapakah yang berhak ke atasnya? Adakah niat asal kita iaitu membeli rumah itu untuk pasangan dan anak-anak akan tercapai? Tempoh bayaran balik pinjaman 35 tahun itu sangat lama. Ada kemungkinan apa pun berlaku dalam tempoh 35 tahun itu.
Untuk merungkai isu ini kita kena faham dari peringkat asas. Perlu difahami bahawa apabila seorang Islam itu meninggal dunia, maka semua harta yang sah miliknya adalah harta pusaka dan ada hak waris-waris mengikut hukum faraid ke atasnya. Waris-waris ini secara umumnya terdiri daripada pasangan, anak-anak dan ibubapa simati namun dalam keadaan tertentu juga, waris yang terlibat boleh juga terdiri dari adik-beradik, datuk simati dan waris-waris lain. Keadaan ini berpotensi untuk mencetus banyak masalah pada masa hadapan.
Saya yang sudah 22 tahun terlibat dalam bidang ini telah menyaksikan pelbagai insiden dalam keadaan kes seperti ini. Ada balu yang dihalau dari rumah oleh keluarga suami apabila suaminya meninggal dunia. Kerana tidak mahu bergaduh dengan mentua, balu pun beralah dan keluar dia dari rumah itu dengan anak-anaknya yang masih kecil. Ini bukan cerita drama. Ini kisah benar.
Dalam banyak keadaan bila kita membeli rumah secara pinjaman, bank juga akan mensyaratkan supaya kita membeli perlindungan takaful atau insurans sebagai perlindungan kepada pinjaman itu. Dalam banyak keadaan yang saya jumpa juga, perlindungan takaful atau insurans tidak mencukupi untuk melangsaikan sepenuhnya baki pinjaman bank selepas kematian peminjam. Maka balu yang terpaksa menanggung beban dan berusaha menyelesaikan baki pinjaman bank yang masih tertunggak.
Ada balu yang kena buat dua atau tiga kerja bagi memastikan baki pinjaman bank/pembiaya ini dibayar. Jika tidak dibayar nanti rumah akan dilelong pula oleh bank. Di mana pula si balu dan anak-anaknya nak tinggal. Lagipun rumah ini ada sentimental value kerana rumah ini dibeli oleh suami. Tetapi selepas baki pinjaman habis dibayar, sekonyong-konyong timbullah semula semua waris-waris tadi menuntut bahagian mereka.
Memanglah ada kaedah bagaimana si balu boleh menuntut bahagian yang lebih dari rumah itu (melebihi dari bahagian faraidnya) dengan hujah hanya dia sahaja yang membayar untuk baki pinjaman itu tetapi prosesnya panjang dan rumit. Proses ini pasti menimbulkan banyak konflik di antara balu dengan waris-waris faraid yang lain.
Jadi apa pilihan yang pembeli rumah dengan pinjaman bank ini ada? Sekiranya dia mati dalam keadaan pinjaman rumah belum habis dibayar, pasangan dan anak-anak yang ditinggalkan pasti akan berdepan pelbagai masalah.
Anda mahu pasangan dan anak-anak anda berdepan cabaran yang saya sebutkan di atas? Jika anda tidak berbuat apa-apa seperti sekarang, maka cabaran di atas mungkin terpaksa mereka hadapi. Jika anda benar-benar sayangkan mereka dan rasa bertanggungjawab memastikan pasangan dan anak-anak anda terus dapat berlindung di rumah yang anda beli itu, anda bolehlah menghibahkan rumah tersebut kepada mereka.
Apabila telah dihibah, tidaklah mereka berdepan situasi konflik dengan waris-waris lain kerana rumah itu sudah sah menjadi milik mereka. Wasiyyah Shoppe Berhad telah membantu umat Islam menyedia dan melaksanakan hibah rumah mereka sejak 2004 dan merupakan organisasi yang paling berpengalaman di Malaysia dalam urusan hibah.
Hibah di sini bermaksud akad pemberian sesuatu harta di atas dasar kasih sayang. Ia adalah salah satu transaksi yang wujud dalam muammalat. Apabila kesemua rukun dan syarat telah dipenuhi, maka hibah itu adalah sah dan berkuatkuasa. Siapakah yang menentukan hibah itu sah? Di Malaysia bidang kuasa menentukan sesuatu akad hibah itu sah atau tidak ialah Mahkamah Syariah.
Bagaimana pula Mahkamah Syariah mempertimbang sama ada hibah itu sah atau tidak? Mahkamah akan melihat sama ada semua rukun dan syaratnya terlaksana semasa hidupnya pemberi hibah. Jika semua perkara ini dipenuhi, maka hibah itu akan disahkan. Tiada mana-mana pihak baik individu, peguam, ahli akademik, ustaz atau mana-mana pihak pun yang boleh mengatakan sesuatu hibah itu sah atau tidak. Hanya Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai kuasa itu.
Sebagai tuan punya harta anda mempunyai hak untuk menghibahkan rumah anda itu kepada sesiapa yang anda kehendaki. Dalam banyak keadaan suami akan menghibahkan rumahnya kepada isteri dan anak-anak kerana memang itulah niat asalnya iaitu untuk memberi tempat perlindungan kepada tanggungannya.
Rumah yang telah dihibah itu akan terkeluar dari harta pusaka dan tiada hak waris-waris mengikut hukum faraid ke atasnya. Maka tercapailah hasrat anda untuk memastikan rumah itu menjadi milik pasangan dan anak-anak.
Walaupun rumah itu masih belum habis dibayar pinjaman banknya (masih dicagarkan kepada bank), anda boleh menghibahkannya kepada pasangan dan anak-anak. Hibah itu adalah sah. Boleh datang ke Wasiyyah Shoppe Berhad untuk kami bantu.
Penulisan saya ini akan saya sambung dalam artikel yang akan datang. Anda tentu mahu tahu betul ke rumah yang masih dalam pinjaman bank boleh dihibahkan. Jangan ketinggalan ikuti penulisan saya akan datang. Untuk tajuk ini ada banyak bahagian sambungannya.
KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?
ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!
COVID-19 dan perancangan harta
INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA
Tak semua orang perlu wasiat?
Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu
SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA
BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?
Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah
Balu selalu tertindas bab pusaka?
APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?
"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"
RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN
APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?