139 syarikat diserapkan ke dalam Program NTIS pada tahun pertama | DagangNews Skip to main content

139 syarikat diserapkan ke dalam Program NTIS pada tahun pertama

KUALA LUMPUR 22 Okt  - Sebanyak 139 syarikat daripada lebih 500 permohonan lengkap daripada pelbagai jenis syarikat  berjaya diserap ke dalam program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) antara tempoh Ogos 2020 dan Julai 2021.

 

Sejumlah  RM52.78 juta telah diluluskan oleh NTIS untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini.

 

"Sementara, 69 syarikat yang lain juga turut mendapat sokongan teknikal, pengawal seliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS," kata kementerian itu.  

 

NTIS merupakan  inisiatif MOSTI di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, bertujuan untuk  memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi, sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan.  

 

Menurut MOSTI, sebanyak 50% daripada projek NTIS yang mendapat kelulusan merangkumi sektor perubatan dan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta kejuruteraan pintar dan pembuatan.

 

"Manakala, 50% lagi adalah berkaitan sistem lanjutan pintar. "NTIS turut mendapat sokongan 26 kementerian, dua agensi kerajaan dan 26 rakan Innovation Acceleration Network (IAN)," katanya, lapor Bernama.

 

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

 

"Enam sasaran telah ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025.

 

"Adalah penting untuk produk dan penyelesaian inovasi yang membawa impak serta menepati permintaan pengguna dibawa keluar dari makmal dan diperkenalkan melalui pemecutan kemasukan ke pasaran," katanya.

 

Adham berkata, syarikat Malaysia yang diterima NTIS akan dibantu untuk memajukan  inovasi mereka daripada  satu tahap kesediaan teknologi (TRL) ke tahap berikutnya, iaitu daripada peringkat prototaip dan pengujian hinggalah ke peringkat penggunaan dan pengkomersialan. - DagangNews.com