14 faktor mengapa MCMC kawal selia perkhidmatan awan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

14 faktor mengapa MCMC kawal selia perkhidmatan awan di Malaysia

CYBERJAYA 16 Okt - Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, semalam mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan kawal selia ringan ke atas perkhidmatan awan di Malaysia mulai 1 Januari 2022.

 

Menurut beliau, keputusan itu diambil setelah MCMC mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor perkhidmatan awan termasuk kos operasi.

 

BACA: MCMC laksana kawal selia ke atas perkhidmatan awan

 

Berikut adalah 14 persoalan berkaitan dasar terbaharu kerajaan ini:




 

1. Mengapakah MCMC mengambil pendekatan kawal selia ke atas perkhidmatan awan?

Sejajar dengan inisiatif MyDIGITAL, Kerajaan Malaysia kini melangkah ke arah “Cloud First Policy” di mana kebergantungan terhadap perkhidmatan awan akan meningkat dengan begitu pantas.

Terdapat kebimbangan berkenaan keselamatan data setelah mengambil kira peningkatan penggunaan perkhidmatan awan di dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Pendekatan kawal selia ini akan memastikan pihak penyedia perkhidmatan awan mengekalkan tahap keselamatan data, privasi data, perlindungan data dan aliran data pengguna adalah di tahap yang tinggi.

Dalam masa yang sama dapat memberikan perlindungan kepada pengguna dan agensi yang berkaitan.

 

2. Mengapakah MCMC mengambil pendekatan kawal selia perkhidmatan awan melalui kaedah pelesenan?

Dengan melesenkan penyedia perkhidmatan awan, MCMC mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan standard teknikal, yang dapat dihasilkan bersama pemain industri.

Pengenaan apa-apa syarat untuk mematuhi standard tersebut hanya dapat dicapai melalui pendekatan pelesenan. Ini akan memastikan amalan terbaik digunakan oleh penyedia perkhidmatan awan.

 

3. Apakah ciri-ciri pendekatan kawal selia ringan yang diperkenalkan oleh MCMC?

MCMC mengguna pakai pendekatan no worse off policy di dalam merangka kaedah pelesenan yang bersesuaian untuk perkhidmatan awan. Ini bermakna, aktiviti-aktiviti yang ketika ini dikecualikan di bawah kerangka pelesenan sedia ada akan kekal dikecualikan.


 

mcmc

 

 

4. Apakah pendekatan kawal selia untuk perkhidmatan awan?

Perkhidmatan awan merupakan sejenis perkhidmatan baharu yang akan dilesenkan bagi menangani kelompongan kawal selia di mana data-data yang disimpan dalam perkhidmatan awan tidak dilindungi.

Perkhidmatan awan akan dilesenkan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP (C)] yang dirangka khusus untuk memberikan akses pasaran yang mudah dan mendorong pertumbuhan industri.

 

5. Apakah maksud lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi kepada penyedia perkhidmatan awan?

Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi hanya memerlukan pendaftaran yang mudah, tiada sekatan pegangan saham asing dan dikecualikan daripada menyumbang di dalam Kumpulan Wang Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) khusus untuk perkhidmatan awan.

 

6. Adakah aktiviti “perumah jaring dan pelanggan-pelayan” akan kekal dikecualikan?

Di bawah kawal selia ringan yang dicadangkan, syarat pelesenan di bawah lesen ASP (C) akan dikenakan ke atas aktiviti perkhidmatan awan sahaja.

Aktiviti perumah jaring dan pelanggan-pelayan adalah kekal dikecualikan sebagai perkhidmatan aplikasi di bawah Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

 

7. Apakah definisi perkhidmatan awan?

Untuk tujuan kawal selia, MCMC telah mendefinisikan perkhidmatan awan seperti berikut:

Perkhidmatan Awan merujuk kepada sebarang perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna akhir berdasarkan permintaan melalui Internet daripada pelayan penyedia pengkomputeran awan.

 

8. Siapakah yang perlu memohon lesen ASP (C)?

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan awan yang mempunyai kehadiran tempatan (local presence) ataupun melalui pusat data di Malaysia, adalah dikehendaki untuk mendaftar di bawah lesen ASP (C).

Gambarannya adalah seperti berikut:

Gambaran:

▪ Syarikat A merupakan sebuah syarikat diperbadankan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan awan kepada pengguna akhir.

Syarikat A adalah dikehendaki untuk didaftarkan di bawah lesen ASP (C).

 

▪ Syarikat B tidak mempunyai kehadiran tempatan tetapi menyediakan perkhidmatan awan melalui sebuah pusat data tempatan, Syarikat C, kepada pengguna akhir. Syarikat C adalah dikehendaki untuk didaftarkan di bawah lesen ASP (C).

 

▪ Syarikat D tidak mempunyai kehadiran tempatan dan tidak menyediakan perkhidmatan awan melalui pusat data tempatan kepada pengguna akhir. Syarikat D tidak perlu mendaftar untuk lesen ASP (C).

 

9. Bilakah peraturan tersebut akan mula berkuat kuasa?

Peraturan tersebut akan mula berkuat kuasa bermula 1 Januari 2022.


 

mcmc

 

10. Bagaimana untuk memohon lesen ASP (C)?

Permohonan Lesen ASP (C) boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut kepada Jabatan Pelesenan MCMC:

i. Dua (2) salinan BORANG D daripada Jadual Ketiga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA98);

ii. Fi pendaftaran sejumlah RM2,500.00;

iii. Senarai semak pada Notis Pendaftaran;

iv. Borang-borang berkanun di bawah Akta Syarikat 2016;

v. Profil Syarikat dan Carta Organisasi; dan

vi. Penerangan ringkas berkaitan jenis perkhidmatan yang disediakan (dalam hal ini, perkhidmatan awan).

 

Proses pendaftaran mengambil masa 14 hari untuk permohonan baharu manakala tujuh (7) hari untuk permohonan pendaftaran berulang. Maklumat permohonan, dokumen dan senarai semak boleh dimuat turun dari laman web MCMC.

 

11. Berapa lama tempoh sah lesen tersebut?

Tempoh sah untuk lesen ASP (C) adalah selama satu (1) tahun. Pemegang lesen adalah dikehendaki untuk mengemukakan pendaftaran mereka secara tahunan.

 

12. Adakah ada sekatan asing dalam pegangan saham untuk pemegang lesen?

Tidak ada sebarang sekatan dalam pegangan saham asing di bawah  lesen ASP (C).

 

13. Apakah yang akan berlaku sekiranya perkhidmatan yang diberikan itu dibuat tanpa lesen?

Penyediaan aktiviti-aktiviti berlesen tanpa lesen adalah satu kesalahan di bawah AKM98. Penyedia perkhidmatan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan sebelum memulakan operasi mereka.

mcmc

 

14. Adakah tujuan MCMC untuk melesenkan perkhidmatan awan adalah bagi memudahkan operasi menggeledah dan menyita (search and seizure) oleh agensi-agensi penguatkuasaan?

Dengan melesenkan perkhidmatan awan, perkara yang dibangkitkan oleh industri mengenai privasi dan keselamatan data dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Di bawah AKM98, pemegang lesen akan diberikan perlindungan kawal selia dengan memastikan penguatkuasa undang-undang di dalam dan luar negara mematuhi setiap piawaian yang dihasilkan oleh pemain industri melalui platform rasmi yang disediakan oleh MCMC iaitu Malaysian Technical Standards Forum Berhad (MTFSB). – DagangNews.com