14,329 rumah untuk golongan B40, M40 siap dibina di Selangor - PM | DagangNews Skip to main content

14,329 rumah untuk golongan B40, M40 siap dibina di Selangor - PM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 19 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 14,329 buah rumah di Selangor siap dibina sehingga bulan Jun 2022 di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

 

Perdana Menteri berkata, usaha menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutama kumpulan B40 dan M40 terus menjadi agenda penting kerajaan, selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah.

 

Selain itu katanya, sebanyak RM6.3 bilion peruntukan telah diluluskan kerajaan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor, di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

 

Jelasnya, antara projek penting yang akan dilaksanakan adalah lima buah projek tebatan banjir di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion. 

 

"Usaha ini akan disegerakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk di Selangor, ekonomi negeri dan negara berulang lagi. Seperti kita tahu banjir besar berlaku tahun lepas di negeri Selangor seperti di kawasan Shah Alam, Hulu Langat dan sebagainya.

 

"Kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di Selangor," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, pada 19 Februari lalu, beliau telah melancarkan Inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion dengan sasaran untuk menawarkan 600,000 peluang pekerjaan dan sehingga kini sebanyak 400,000 kerja telah diisi di seluruh negara. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Alhamdulillah, sejak setahun lalu, kadar pengangguran telah menurun sehingga 3.8% pada bulan Jun 2022, paras terendah sejak pandemik COVID-19 daripada 4.6% pada bulan Ogos 2021," katanya.

 

Beliau berkata, bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan telah menetapkan paras gaji minimum baharu kepada RM1,500 mulai 1 Mei lalu, yang merupakan antara langkah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan pada Jun yang lalu telah menunjukkan hasil positif dan berjaya, bukan sahaja menurunkan harga beberapa barangan seperti ayam dan minyak masak. 

 

"Saya sememangnya berharap semua pihak akan terus memberi sokongan terhadap segala inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan demi kebaikan seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, ekonomi negara merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9% bagi suku kedua tahun ini.

 

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Justeru, kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Bagaimanapun, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4% dan angka ini merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara.

 

"Bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara, meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik.

 

"Dasar yang dilaksanakan kerajaan ini bertujuan membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak, dan pada masa yang sama membantu Keluarga Malaysia yang perlu dari segi bantuan langsung seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya," katanya.

 

Beliau berkata, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44% kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022 yang merupakan paras tertinggi sejak tahun 2013 dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor.

 

Selain itu katanya, pada tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia buat pertama kalinya telah melepasi paras RM2 trilion, meningkat 24.9% dari tahun sebelumnya berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. 

 

"Saya juga yakin pelabur asing terus berminat untuk menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan kerajaan. Bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun 2022, negara kita merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018.

 

"Kejayaan-kejayaan yang dicapai ini membuktikan ekonomi negara kita kini semakin pulih. kerajaan terus komited dalam menjayakan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini," katanya. - DagangNews.com