2 kementerian bekerjasama bantu usahawan mikro  | DagangNews Skip to main content

2 kementerian bekerjasama bantu usahawan mikro 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh negara, dianggarkan akan berlaku peningkatan bilangan usahawan mikro dan informal daripada anggaran terkini seramai 3 juta orang. 

 

Ini mendorong kerajaan mencari jalan terbaik bagi memastikan kesejahteraan golongan usahawan ini terbela dan dapat membantu mereka menambah pendapatan. 

 

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjalin 3 kerjasama strategik bagi membangunkan kapasiti golongan sasar ini. 

 

Dua daripada kerjasama itu membabitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Protege bagi memperkasa dan memperluaskan program Protege manakala Perkeso bersama Tekun Nasional bagi pelaksanaan program caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). 

 

Di samping itu, ia turut melibatkan kerjasama strategik antara Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Institut Keusahawanan Negara (Insken) bagi memperkukuh dan meningkatkan kapasiti serta kemahiran usahawan melalui inisiatif pembangunan strategik.

 

Menerusi kerjasama ini, mereka diberi peluang meningkatkan kebolehan dan keupayaan diri melalui penyediaan program kemahiran semula dan tambah baik kemahiran. 

 

Selain itu, ia juga membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pemadanan graduan bersama majikan serta pemanjangan pilihan caruman ke Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi melindungi golongan ini dari risiko kehilangan mata pencarian.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, golongan usahawan tempatan terutama mikro dan informal adalah yang paling terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

Katanya, pembukaan semula sektor ekonomi dengan pematuhan kepada norma-norma baharu, memerlukan golongan ini meningkatkan keupayaan dan mengadaptasi kepada penggunaan teknologi maklumat dan digitalisasi.

 

"Pelaksanaan kerjasama strategik ini dapat membantu golongan usahawan tempatan dan informal melengkapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan. 

 

"Malah, ini dapat melindungi mereka daripada risiko kehilangan mata pencarian," katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani kerjasama tersebut hari ini. 

 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kebanyakan golongan usahawan mikro serta informal yang bekerja sendiri tidak mempunyai sebarang skim perlindungan. 

 

Lebih membimbangkan, katanya, sebahagian daripada mereka ini menjalankan pekerjaan yang sering terdedah kepada risiko kemalangan atau bencana, contohnya pemandu teksi dan nelayan. 

 

"Antara sebab utama adalah faktor kekangan kewangan, namun tidak dinafikan terdapat juga kurangnya kesedaran 
berhubung betapa pentingnya mencarum dalam skim perlindungan.

 

"Oleh itu, dengan adanya kerjasama ini, maka diharap ia dapat membantu meringankan beban serta meningkatkan kesedaran untuk usahawan mendapatkan skim perlindungan yang sewajarnya," katanya. - DagangNews.com