24 pengasas syarikat pemula terpilih sertai program 100Soonicorns  | DagangNews Skip to main content

24 pengasas syarikat pemula terpilih sertai program 100Soonicorns 

Amanda Chin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - ScaleUp Accelerator Sdn Bhd (ScaleUp Malaysia) dan Proficeo Consultants Sdn Bhd (Proficeo) dengan kerjasama Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pemilihan 2 kohort pertama yang terdiri daripada 24 pengasas syarikat untuk menyertai program 100Soonicorns yang direka bagi melahirkan unicorn Malaysia masa depan.

 

Dicipta daripada frasa "unicorn masa depan", Soonicorns ialah syarikat pemula dengan potensi pertumbuhan besar sehingga mampu menjadi syarikat berstatus unicorn. 

 

Pengasas-pengasas syarikat yang dipilih untuk menyertai program tersebut adalah mereka yang berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengasas Tahap-C. 

 

Untuk syarat kelayakan, syarikat pemula perlu mengumpul sekurang-kurangnya AS$1 juta daripada firma modal teroka atau pelabur institusi atau telah menjana pendapatan AS$2 juta sepanjang 12 bulan lalu.

 

Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi ScaleUp Malaysia, Aaron Sarma berkata, sebagai bekas pengasas syarikat pemula, beliau memahami keperluan besar mempunyai rangkaian sokongan dan hubungan kukuh dalam kalangan industri bagi membina syarikat yang mampu mencatat pertumbuhan pesat.

 

Katanya, program 100Soonicorns bukan sahaja menawarkan bimbingan, tetapi juga mewujudkan ruang unik untuk pengasas syarikat terpilih saling berhubung dengan membina hubungan antara satu sama lain. 

 

"Saya sangat teruja menjadi sebahagian daripada program yang akan membantu mewujudkan generasi Unicorn masa depan dan seterusnya mengukuhkan lagi ikatan dalam kalangan komuniti syarikat pemula yang berkembang maju di negara ini.

 

 

scaleup

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti, Ramachandran Muniandy berkongsi pengalamannya menubuhkan syarikat perkhidmatan mobiliti (MaaS) dengan menjadi antara 100 syarikat pemula di Malaysia yang berpotensi untuk memperoleh penilaian berbilion dolar dalam tempoh 3 tahun akan datang.

 

Katanya, program berkonsep rakan bimbingan digabungkan dengan pembelajaran tersusun dalam tempoh 12 bulan ini adalah ideal kerana dapat menajamkan kemahiran peserta serta memberikan komitmen lebih realistik daripada CEO syarikat pemula. 

 

 

scaleup
                                       Ramachandran Muniandy

 

 

"Saya yakin kita akan mempunyai masa depan yang baik untuk membawa Malaysia berada di hadapan dan sebagai usahawan, kita mempunyai peranan utama untuk dimainkan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ablr, Amanda Chin berkata, beliau teruja dipilih sebagai sebahagian daripada '100 Soonicorns' dalam kalangan syarikat yang sedang berkembang dan terkenal yang lain. 

 

"Ia akan memberi manfaat kepada syarikat ini yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan beretika bagi pelanggan melalui cara pembelian berpatutan dan mudah diakses untuk mereka mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan, rumah dan perjalanan," katanya. - DagangNews.com