KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kumpulan Alibaba (Alibaba) menutup Program Latihan LiveNOW dengan jayanya pada tahun ini, sekali gus melengkapkan hampir 300 rakyat Malaysia merentas sesi Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin dengan kemahiran asas strim langsung dan pembikinan video Pemimpin Pendapat Utama untuk meraih pelbagai potensi peluang dalam bidang e-dagang interaktif.
Dikendalikan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi latihan khas MODEN KOL Academy, dan disokong Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), MYNIC Berhad, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), edisi kedua LiveNOW sekali lagi menjadi inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh Kumpulan Alibaba yang dikhususkan kepada masyarakat Malaysia.
Program ini menyasarkan terutamanya individu yang berminat untuk membangunkan kerjaya dalam strim langsung e-niaga atau pembikinan video, serta pemilik perniagaan yang berhasrat untuk meraih manfaat daripada alat pemasaran e-niaga interaktif bagi menggalakkan pertumbuhan perniagaan mereka.
Berdasarkan asas latihan strim langsung KOL yang dicakup oleh edisi 2020, program LiveNOW pada tahun ini merangkumi komponen pembikinan video dalam talian memandangkan wujudnya peningkatan dalam penggunaan video pendek sebagai medium pemasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Semasa sesi latihan dalam talian selama tiga hari secara percuma, peserta memperoleh peluang untuk belajar daripada pelbagai sesi perkongsian yang dihoskan oleh KOL tempatan terkenal termasuklah Kate Ke En, Kartini Ariffin, Jae C dan Xiao Gu, selain kuliah para pembimbing daripada Taobao, MODEN KOL Academy, Lazada dan rumah pembikinan video tempatan, UNINESS.
Pengurus Negara Tmall Taobao World Malaysia, Jess Lew berkata, mereka gembira menerima respons yang sangat menggalakkan daripada masyarakat Malaysia pada tahun ini terhadap program LiveNOW, sekali gus menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap peluang pembinaan keupayaan sedemikian.
"Hal ini jelas terbukti dalam era pasca pandemik ini ketika banyak orang telah pun memulakan perjalanan mereka dalam ruang e-niaga.
"Kami berharap agar program ini bukan sahaja telah memberi peserta kita pengetahuan yang relevan untuk meneroka arena ini dengan keyakinan, malah juga membuktikan menerusi kisah-kisah pembimbing KOL kami bahawa kejayaan bukan tidak boleh diraih jika kita mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas MODEN KOL Academy, Jerry Hang pula berkata, mereka berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi tahun ini dengan Alibaba dan membawa LiveNOW kepada komuniti yang lebih meluas di Malaysia.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menyaksikan permintaan yang semakin berkembang daripada generasi muda untuk menjadi penstrim langsung KOL atau pembikin video, dan kami gembira dapat memanfaatkan pengalaman latihan kami selama bertahun-tahun bagi membantu mereka mempercepat penguasaan kemahiran yang relevan menerusi program ini.
"Kami berharap mereka akan menerapkan ilmu yang diperoleh dalam perkara yang berfaedah untuk mempertingkatkan jati diri mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam e-niaga,” katanya. - DagangNews.com