4 syarikat Siemens sumbang 25,000 kit ujian COVID-19 kepada KKM | DagangNews Skip to main content

4 syarikat Siemens sumbang 25,000 kit ujian COVID-19 kepada KKM

 (Dari kanan) Pengarah Urusan Siemens Healthineers, Rod Frazer dan Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Siemens Malaysia, Adam Yee menyampaikan sijil simbolik sumbangan kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

(Dari kanan) Pengarah Urusan Siemens Healthineers, Rod Frazer dan Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Siemens Malaysia, Adam Yee menyampaikan sijil simbolik sumbangan kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

 


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Mac. - Empat syarikat di bawah kumpulan Siemens di Malaysia iaitu Siemens Malaysia, Siemens Healthineers, Siemens Energy dan Siemens Mobility menyumbang 25,000 kit ujian COVID-19 dengan nilai RM528,800 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Siemens Malaysia, Adam Yee berkata, sumbangan berkelompok itu dilakukan bagi membantu negara dalam usaha mencegah ancaman wabak COVID-19 yang sedang berleluasa dalam masyarakat.

 

"Kami berhasrat untuk menzahirkan semangat perpaduan dan sokongan kami kepada petugas barisan hadapan sektor kesihatan yang bekerja tanpa mengira penat dan lelah untuk negara kita sejak wabak ini mula tercetus.

 

"Kit ujian yang disumbangkan ini ialah tanda komitmen kami kepada negara bagi membantu mengawal dan mencegah penyebaran virus ini. Virus ini tetap akan mengambil sedikit masa untuk dibasmi sepenuhnya walaupun langkah berjaga-jaga telah dilaksanakan kerajaan.

 

"Justeru, kami ingin memainkan peranan kami bagi membantu KKM dalam memastikan keselamatan warga Malaysia yang lain sebelum vaksin tersedia secara meluas. Kami berharap kit ujian ini akan berupaya membantu usaha-usaha mencegah penularan virus ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 Kit ujian antibodi COVID-19 Siemens Healthineers diserahkan kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Kit ujian antibodi COVID-19 Siemens Healthineers diserahkan kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

 

Kit ujian antibodi tersebut telah diserahkan kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Setia Alam, Shah Alam.

 

Kit ujian antibodi COVID-19 Siemens Healthineers direka dan dihasilkan untuk memberikan keputusan ujian yang pantas dan boleh dipercayai.

 

Selain itu, ia memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap perkembangan penyakit dan gerak balas imun.

 

Kit ujian tersebut turut memenuhi piawaian peranti diagnostik Kesatuan Eropah iaitu CE_IVD (European In-Vitro Diagnostic Devices Directive (98/79/EC)).

 

Ia juga mendapat kelulusan penggunaan kecemasan daripada Pihak Pentadbir Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (FDA EUA) untuk digunakan oleh makmal yang dibenarkan selain kelulusan akses istimewa daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia.

 

Dalam majlis simbolik penyerahan kit itu, Adam Yee dan Pengarah Urusan Siemens Healthineers, Rod Frazer turut menyampaikan satu poster lukisan tangan oleh anak seorang kakitangan Siemens dengan mesej “Terima kasih” khusus buat semua petugas kesihatan.

 

 (Dari kiri) Rod Frazer dan Adam Yee menyampaikan sijil simbolik sumbangan kepada Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Tahir Aris dan wakil IMR.
(Dari kiri) Rod Frazer dan Adam Yee menyampaikan sijil simbolik sumbangan kepada Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Tahir Aris dan wakil IMR.

 

Rod Frazer memberitahu, ujian antibodi berkualiti tinggi yang boleh dilakukan secara besar-besaran adalah mustahak bagi membantu untuk memulihkan semula masyarakat.

 

"Sasaran protein yang betul juga adalah penting dalam ujian antibodi. S1RBD adalah protein utama pada permukaan virus dan bukti-bukti yang diperolehi saban hari menunjukkan antibodi ini berupaya untuk meneutralkan dan mencegah kemasukan virus ke dalam sel manusia. 

 

"Pemilihan antibodi yang dikesan oleh ujian kami adalah selari dengan kajian vaksinasi yang sedang dibangunkan.

 

"Ujian Siemens Healthineers mengesan antibodi kepada “spike protein”, khususnya protein S1RBD," jelasnya. - DagangNews.com