KUALA LUMPUR 17 Ogos - Mengikut keluarga kekal sebagai sebab utama migrasi dalaman apabila mencatatkan sebanyak 47.3% pada 2022 berbanding 45.3% pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ia diikuti oleh faktor persekitaran (19.3%), kerjaya (18.3%), perkahwinan dan perceraian (5.7%), pendidikan (5.4%) dan lain-lain (3.9%).
Beliau berkata, kadar migrasi menurun kepada 0.5% pada 2022 berbanding 1.5% pada 2020.
"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 sehingga separuh pertama tahun 2021 telah mempengaruhi penurunan kadar migrasi dan jumlah migran kepada 158,800 orang pada 2022 daripada 484,100 orang pada 2020.
"Sementara itu, komposisi migrasi dalam negeri meningkat kepada 62.3% pada 2022 berbanding 58.4% pada 2020. Sebaliknya, migrasi antara negeri menurun kepada 30.3% berbanding 31.2% pada 2020 dan migrasi antarabangsa jatuh kepada 7.4% berbanding 10.4% pada 2020.," katanya dalam kenyataan media melalui Laporan Survei Migrasi Malaysia 2022 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, migrasi dalam negeri menyumbang 62.3% daripada jumlah migrasi dalaman pada 2022, sementara 30.3% adalah migrasi antara negeri.
Beliau berkata, tiga negeri mencatatkan peratusan tertinggi migrasi dalam negeri pada 2022 iaitu Johor (91.9%), diikuti Kedah (72.9%) dan Selangor (71.9%).
Sementara itu, Negeri Sembilan dan Perlis merekodkan migrasi dalam negeri terendah pada 2022 dengan masing-masing pada 38%.
Migrasi dalam negeri melalui aliran migrasi menunjukkan bahawa migrasi dari bandar ke bandar kekal tinggi pada 79.3% berbanding 73% pada 2020, diikuti bandar ke luar bandar (14.7%), luar bandar ke bandar (2.4%) dan luar bandar ke luar bandar (3.6%).
Berdasarkan penemuan, semua negeri mencatatkan pergerakan dari kawasan bandar ke bandar yang lebih tinggi pada 2022. Namun, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan migrasi dari bandar ke luar bandar yang lebih tinggi pada 41.1% berbanding 10.6% pada 2020.
Selain itu, semua negeri merekodkan peningkatan dalam peratusan migrasi antara negeri pada 2022 berbanding 2020 kecuali Johor pada 7.5% berbanding 18.9% pada 2020, Kedah 27.1% berbanding 43.4% pada 2020, Selangor 15% berbanding 29.4% pada 2020 dan Sarawak mencatatkan 20.3% berbanding 22.6% pada 2020.
Selangor mencatatkan pergerakan migran dalaman tertinggi dengan jumlah 29,200 migran masuk. Majoriti migran masuk ke Selangor adalah dari Johor (1,400 orang) dan Kelantan (7,000 orang).
Selangor juga merekodkan jumlah migran dalam negeri tertinggi iaitu 26,500 orang, diikuti Johor (22,400 orang) dan Kedah (7,300 orang). Sementara itu, aliran keluar migran dalaman tertinggi juga direkodkan di Selangor pada 37,200 orang.
Majoriti migran keluar berhijrah ke Negeri Sembilan (3,500 orang) dan Kelantan (1,800 orang). Migrasi antara negeri juga menunjukkan migrasi bersih iaitu perbezaan antara bilangan migran masuk dan migran keluar.
Negeri Sembilan merupakan negeri penerima migran tertinggi iaitu meningkat kepada 6,500 orang pada 2022 berbanding 1,500 orang pada 2020. Manakala, Selangor merupakan negeri penghantar migran tertinggi pada 2022 dengan 8,800 orang dan diikuti Johor (6,600 orang).
Ciri-ciri demografi migrasi dalaman menunjukkan bahawa penduduk berumur 25-34 tahun mempunyai kadar migrasi dalaman tertinggi pada 2022 iaitu 0.9%, yang mana lelaki 0.8% dan perempuan 0.9%.
Sementara itu, penduduk tua (berumur 65 tahun dan lebih) merupakan kumpulan umur yang paling sedikit bermigrasi iaitu 0.1%. Penduduk kumpulan umur 25-34 tahun mendominasi peratusan migrasi dalaman pada 2022 iaitu 33.1%.
Ini diikuti dengan kumpulan umur 1-14 tahun (24.2%) dan 15-24 tahun (21.4%). Dari segi jantina, lelaki mendominasi dengan menyumbang 51.3%, manakala 48.7% adalah perempuan. - DagangNews.com