MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
18 Disember 2021 menjadi tarikh terpahat dalam ingatan penduduk Sarawak dan Selangor. Sarawak mengundi kerajaan, Selangor berdepan dengan banjir yang tidak dijangka-jangka akibat hujan lebat selama 36 jam.
Mungkin itulah sebabnya menjelang petang Sabtu, perhatian negara sudah beralih kepada bencana banjir kerana empat sungai utama di Selangor (dan Wilayah Persekutuan) airnya sudah melimpah.
Tiada apa yang digusarkan sebenarnya pilihan raya negeri Sarawak. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB diyakini menang, malah sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri lagi.
Bunyi macam berlagak. Tetapi bagi anda yang meneliti dan mengkaji latar belakang dan corak politik Sarawak, nyata tidak serupa dengan Sabah atau Melaka atau negeri-negeri lain.
- Formula Terbaik Kongsi Kuasa
Rekod prestasi kerajaan negeri selama ini menjadi panduan kepada rakyat Sarawak untuk terus memilih GPS yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP), dan Sarawak United People’s Party (SUPP).
Rumusan kestabilan politik dan hubungan erat PBB dengan parti komponennya terutama SUPP (yang mewakili masyarakat Cina) menyakinkan semua bahawa isu perkauman seperti di negeri lain, tidak menjadi agenda pidato semasa berkempen.
Ramai tidak faham apa sifat PBB yang jadi pilihan rakyat Sarawak. Akronim parti ini juga diguna untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tidak mengapa. Positif sahaja.
PBB Sarawak asalnya merupakan gabungan dua parti iaitu Parti Bumiputera (mewakili Melayu/Melanau) dan Part Pesaka (Iban, Bidayuh, Kelabit dan lain-lain). Struktur organisasinya disusun kemas dan dipatuhi dengan baik sehingga kini dengan Timbalan Presiden PBB disediakan dua kerusi sehinggalah jawatan Timbalan Ketua Menteri.
Formula perkongsian kuasa ini menyakinkan bahawa tiada kaum terpinggir kerana kumpulan etnik Iban, Bidayuh, Kelabit memiliki wakil yang dijamin di dalam parti dan juga kerajaan negeri. Yang lebih penting, formula ini sudah berdekad-dekad diamalkan, telah terbukti berjaya dan tiada siapa berisiko lompat parti atau dibeli.
Ini faktor utama GPS meraih kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya negeri ke-12 dengan meraih 76 kerusi daripada 82 yang jadi rebutan.
- GPS Sendirian Berhad
Semua faham betapa rapuhnya ikatan politik negara hari ini. Melihat kepada pilihan raya Melaka, Perikatan Nasional berlawan dengan Barisan Nasional. Sedangkan kedua-duanya membentuk kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.
Pada PRN Sarawak, dua-dua elemen tersebut iaitu BN dan PN tiada bertanding. Tetapi kedua-duanya melahirkan sokongan. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun padang sampai ke kawasan sejauh Mukah dan Kapit.
Kesemua pemimpin parti komponen GPS memenangi kerusi masing-masing. Pengerusi GPS dan Presiden PBB, Tan Sri Abang Johari Openg menang di Gedong, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing menang di Dudong, dan presiden SUPP Dr Sim Kui Hian selesa di Batu Kawah.
PRS yang belum memilih presiden parti baru berikutan kematian Datuk Seri James Masing pada 31 Oktober lalu, memenangi semua 11 kerusi yang ditandingi iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan, Batang Ai, Ngemah, Tamin, Kakus, Pelagus, Baleh, Belaga, Murum dan Samalaju.
- Pengesahan Abang Jo
Abang Johari dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak berikutan kematian Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari 2017. Terdapat desas-desus mengatakan Abang Johari perlu membuktikan beliau adalah sebenar-benar pilihan rakyat untuk mengesahkan jawatannya sebagai ketua menteri.
Cakap-cakap seumpamanya dianggap sekadar cubaan anasir-anasir politik untuk merendah-rendahkan kredibiliti Abang Johari sedangkan faktanya, beliau adalah ahli politik veteran yang berpengalaman dan diketahui rekod kerjanya.
Malah, nama Abang Johari adalah antara tiga nama yang disebut oleh Tun Taib Mahmud sebagai penggantinya. Seorang lagi arwah Adenan. Bermakna bukan sahaja rakyat memilih tetapi juga dalaman parti mengakui beliau sudah menjalani proses `grooming’ untuk menjadi ketua menteri.
Ada yang menyebut sebelum hari pengundian lepas, seandainya Abang Johari gagal memastikan majoriti yang kuat untuk GPS, ia juga dianggap satu kegagalan walaupun GPS menang dua pertiga.
Keputusan Sabtu lepas jelas menunjukkan cakap-cakap itu meleset sekali lagi. GPS menang lagi besar berbanding PRN 2016. Pencapaian ini diraih dengan bantuan sederhana dari BN dan PN. Semuanya jentera GPS sendiri.
Kini, tiada siapa boleh meragui atau perleceh kredibiliti Abang Johari sebagai ketua menteri.
- GPS bersedia hadapi PRU-15
Pilihan raya umum perlu diadakan tahun depan, setelah menyaksikan tiga kerajaan bertukar ganti sejak 2018. Ketika BN dan PN terus cubit-mencubit di peringkat Persekutuan, kedua-dua gabungan parti tersebut melayan GPS bagai kekasih awal dan akhir.
Ini kerana baik BN mahupun PN tahu, untuk kedua-duanya bersendirian berhad pun agak sulit bagi melawan Pakatan Harapan. Dan GPS adalah sebenar-benar `the kingmaker’.
PH sedar mereka tidak akan dapat menarik GPS disebabkan pendekatan 2018 yang mereka pilih dengan menghentam kerajaan negeri. Tuduhan kerajaan negeri `bankrap’, masih tergiang-giang jelas di telinga.
Dengan prestasi jitu PRN Sabtu lepas, GPS berada dalam kedudukan cukup kuat untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen Sarawak. Pada 2018, GPS memenangi 18 kerusi daripada 31 yang dipertandingkan. Kurang setahun PRU-15 perlu diadakan, nescaya GPS akan memenangi lebih lagi.
Dengan pertambahan kerusi parlimen kelak, inilah ciri `kingmaker’ yang didamba oleh PN dan BN. Kalaulah PN dan BN itu tidak bersengketa...
- Sayonara DAP, PKR
Rekod buruk pentadbiran PH selama 22 bulan, mungkin menjadi satu daripada faktor pengundi Sarawak menolak DAP dan PKR. Pada 2016, DAP ada tujuh kerusi. Kini hanya dua.
Faktor lain ialah perpecahan undi berikutan kewujudan parti pembangkang tempatan iaitu Parti Sarawak Baru atau PSB. Mengapa dan kenapa mereka tidak boleh berbincang untuk tidak bertembung dalam satu kawasan, jelas merugikan mereka sendiri.
PKR yang bertanding di 28 kerusi, tewas sama sekali. Rakyat Sarawak sudah malas hendak layan kerana rekod menunjukkan wakil rakyat parti itu sesuka hati melompat ke parti lain tanpa dapat didisiplinkan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat nasional.
Pucuk pimpinan DAP dan PKR kena terima hakikat bahawa pilihan raya Sarawak dan Melaka adalah isyarat tsunami 2018 sudah berakhir. Tiada lagi faktor Tun Dr Mahathir Mohamad bersama di dalam PH juga menjauhkan keyakinan ramai.
Tetapi yang lebih jelas rakyat tidak lupa pengalaman PH menguasai Putrajaya pada 2018 selama 22 bulan yang menjadi `nightmare' ramai.
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang merupakan anak Sarawak - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Kitalah Bintang oleh ELLA berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.