55% pengeluaran terganggu, untung bersih Top Glove dijangka susut 7.4% | DagangNews Skip to main content

55% pengeluaran terganggu, untung bersih Top Glove dijangka susut 7.4%

Top Glove

KUALA LUMPUR 7 Julai - Keuntungan bersih syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) dijangka menyusut sebanyak 7.4% bagi tahun kewangan 2021.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota kajiannya berkata, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira keputusan penutupan sementara operasi kilang syarikat berkenaan di Klang bermula semalam akibat PKPD.

 

Selain Top Glove, syarikat pengeluar sarung tangan lain dijangka turut mengalami penyusutan akibat isu sama. 

 

"Dengan mengandaikan penutupan selama dua minggu kilang-kilang sarung tangan di Selangor di bawah PKPD, kami menjangkakan unjuran kami untuk untung bersih teras tahun kewangan 2021 akan susut, masing-masing 7.4% dan 16% untuk Top Glove dan Kossan.

 

"Keuntungan bersih Hartalega boleh menyusut 16% pada tahun kewangan 2022 kerana penutupan penuh itu," jelas Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota kajiannya hari ini.

 

Baca: PKPD: Kilang Top Glove di Klang ditutup sementara 

 

Dalam nota kajian sama, Maybank IB menambah, penutupan sementara kilang tersebut dijangka menjejaskan sekitar 55% daripada jumlah kapasiti pengeluaran Top Glove dan 100% bagi Hartalega dan Kossan.

 

Selain mengganggu aliran pendapatan syarikat, penutupan sementara kilang sarung tangan getah di negara ini turut menjejaskan hubungan dengan pembeli di luar negara.

 

Risiko berkenaan lebih membimbangkan kerana pengeluar sarung tangan Malaysia pada masa ini sedang berdepan dengan persaingan yang semakin sengit daripada pembuat sarung tangan China.
 

"Walaupun kesan terhadap pendapatan syarikat sarung tangan masih dapat diuruskan dan bersifat sementara, sentimen pelabur terhadap kaunter sarung tangan akan semakin terhakis oleh perkembangan terbaru ini.

 

"Prospek sektor itu kini dibayangi oleh berita negatif yang sedang berlangsung seperti penurunan harga jualan purata (ASP) berikutan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan pemain sarung tangan baharu dan sedia ada selain daripada risiko persekitaran, sosial, dan tadbir urus (ESG)," ujar nota kajian itu lagi. - DagangNews.com