83,000 pengguna alami kenaikan bil elektrik ekoran surcaj TNB sebanyak 10 sen/kWj - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

83,000 pengguna alami kenaikan bil elektrik ekoran surcaj TNB sebanyak 10 sen/kWj - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pengurangan kos subsidi elektrik kepada RM5.2 bilion bagi separuh kedua 2023 berbanding RM10.8 bilion pada separuh pertama mencerminkan komitmen kerajaan dalam memberikan subsidi secara bersasar.

 

Firma itu berkata, surcaj 10 sen/kWj yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pengguna domestik bagi penggunaan melebihi 1,500kWj/bulan menyaksikan sekitar 83,000 pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tidak dilepaskan sepenuhnya.

 

Katanya, surcaj lazim 3.7sen/kWj dikekalkan untuk pengguna komersial voltan rendah, industri dan pertanian voltan rendah, dan kini juga terpakai kepada pengendali air/sanitasi (20.0sen/kWj sebelum ini).

 

Katanya, surcaj untuk semua pengguna bukan domestik lain akan dikurangkan kepada 17.0sen/kWj (daripada 20.0sen/kWj sebelum ini).

 

"Kerajaan sekali lagi mengekalkan mekanisme ICPT Tenaga Nasional Berhad untuk separuh kedua 2023

 

"Surcaj yang dilaksanakan itu menandakan kemajuan terhadap susbsidi bersasar kerajaan," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu kerajaan mengumumkan kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion ditanggung sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

 

Ia sekali gus membolehkan hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang baharu ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM10.00 sesaham. - DagangNews.com