ACO cadang beli 10% kepentingan EV Connection dengan tunai RM1 juta | DagangNews Skip to main content

ACO cadang beli 10% kepentingan EV Connection dengan tunai RM1 juta

EV Connection merupakan penyedia sehenti bagi perkhidmatan mudah alih elektrik khusus dalam penyelesaian dan stesen pengecasan EV. 

 

 


KUALA LUMPUR 18 Okt. - ACO Group Bhd., pengedar bagi produk dan kelengkapan elektrik bekerjasama dengan EV Connection Sdn. Bhd. untuk memasang stesen pengecasan pantas arus terus (DC) di ibu pejabat baharu ACO di Johor Bahru. 

 

Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatifnya untuk memanfaatkan sektor teknologi hijau.

 

Dengan kapasiti 180 kilowatt (kW), stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) ini akan menjadi salah satu daripada stesen pengecasan terpantas di Malaysia dan yang pertama di Johor. 

 

Pemilik EV tidak lama lagi boleh memandu masuk ke ibu pejabat ACO untuk mengecas kenderaan mereka sehingga 180 kW yang mengambil masa selama 30 minit, berbanding pengecasan arus ulang-alik (AC) yang mengambil masa antara 6 hingga 10 jam untuk mencapai pengecasan penuh. 

 

 

Tang Pee Tee @ Tan Chang Kim
Tang Pee Tee @ Tan Chang Kim

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan ACO, Ir. Tang Pee Tee @ Tan Chang Kim berkata, pihaknya amat gembira untuk memulakan projek ini dan memainkan peranan untuk merapatkan jurang infrastruktur pengecasan EV di Malaysia. 

 

Katanya, ia adalah tempoh menarik dalam industri elektrik memandangkan teknologi hijau semakin berkembang dan memacu pertumbuhan bagi bekalan elektrik.

 

"Industri EV di negara ini menyediakan peluang yang cukup luas buat kami dan kami berhasrat untuk memperluaskan penglibatan dalam pembangunan infrastrukturmenerusi pelaburan strategik kami dalam EV Connection," katanya dalam kenyataan di negara ini.

 

Bagi memanfaatkan prospek pertumbuhan dalam EV, ACO telah bercadang membeli 10% kepentingan dalam EV Connection dengan nilai RM1 juta tunai.

 

EV Connection merupakan penyedia sehenti bagi perkhidmatan mudah alih elektrik khusus dalam penyelesaian dan stesen pengecasan EV. 

 

Ia juga merupakan penyedia perkhidmatan yang sah dan pemasang stesen pengecasan EV bagi banyak pembuat kenderaan seperti Mercedes Benz, Volvo dan Hyundai serta syarikat minyak dan gas (O&G).

 

Pakar teknologi hijau itu juga membekalkan dan memasang lebih daripada 800 pengecas EV setakat ini dan memiliki serta mengendalikan 20 pengecas EV di seluruh negara. 

 

Pee Tee berkata, bersama-sama dengan EV Connection, pihaknya menyasarkan untuk memperluaskan rangkaian pengecasan EV di Malaysia dan membuka jalan kepada lebih banyak penggunaan EV dan menyokong ke arah mencapai dekarbonisasi.

 

"Oleh itu, kami akan memanfaatkan kekuatan kami, menggunakan pelbagai rangkaian produk ACO dan kedudukan di Malaysia beserta pengetahuan terkini EV Connection dalam infrastruktur EV untuk mempercepatkan pemasangan stesen pengecasan di seluruh negara," jelas beliau. - DagangNews.com