Ada sinar positif buat ekonomi negara di sebalik tempoh mencabar semasa - MIDF | DagangNews Skip to main content

Ada sinar positif buat ekonomi negara di sebalik tempoh mencabar semasa - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Walaupun usaha membendung penularan COVID-19 masih lagi berterusan, namun terdapat beberapa perkembangan positif yang dapat membuka sedikit pintu sinar pemulihan terhadap ekonomi negara pada masa akan datang. 

 

Ini antaranya kadar vaksinasi yang memberangsangkan dapat meningkatkan kemungkinan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang suku keempat tahun 2021 (4Q21). 

 

Berdasarkan trend Indeks Pelopor dan Indeks Serentak, MIDF Research mengunjurkan momentum pertumbuhan ekonomi akan lemah pada pertengahan tahun ini kerana penguatkuasaan ‘lockdown’ penuh. 

 

Namun, firma itu percaya momentum tersebut akan meningkat semula memandangkan lebih banyak negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan apabila sekatan ke atas ekonomi ditamatkan secara beransur-ansur. 

 

“Kami percaya terdapat kejutan baik daripada potensi peningkatan permintaan yang tertunggak apabila ekonomi dibuka semula, di mana kami menjangkakan bermula pada suku tahun terakhir ini sekiranya peralihan ke fasa-fasa PPN seterusnya dicapai. 

 

“Selain daripada permintaan yang memulih, kami menjangkakan kelonggaran sekatan yang beransur-ansur akan membolehkan lebih banyak perniagaan memulakan operasi mereka. 

 

“Dalam pada itu, pemulihan ekonomi juga akan disokong oleh dasar monetari yang akomodatif ketika ini selain perbelanjaan fiskal ditingkatkan, memandangkan lebih banyak program di bawah rangsangan fiskal dan Belanjawan 2021 akan dibelanjakan dan dilaksanakan,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

MIDF mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.6% bagi tahun ini, dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Firma itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sentimen yang berkurangan akan terus menjejaskan perbelanjaan domestik, sementara output pembuatan dan prestasi eksport akan terjejas pada separuh pertama bulan Julai 2021 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

Risiko penurunan kepada prospek ekonomi negara sudah tentu disebabkan oleh lanjutan ‘lockdown’ dan situasi COVID-19 yang bertambah buruk di mana akan mempengaruhi keyakinan pelbagai pihak dalam masa terdekat ini.

 

Dalam pada itu, lonjakan kes COVID-19 di beberapa negara juga akan menjejaskan kekuatan pertumbuhan ekonomi global pada separuh kedua tahun 2021 (2H21), ujar MIDF lanjut. - DagangNews.com