Advancecon pecat ketua pegawai operasi kumpulan berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan salah laku | DagangNews Skip to main content

Advancecon pecat ketua pegawai operasi kumpulan berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan salah laku

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Berhad bertindak memecat ketua pegawai operasi kumpulannya (COO), Yeo An Thai berkuat kuasa serta-merta kerana salah laku.

 

An Thai, 52, memegang 2.79% kepentingan, terdiri daripada 16.08 juta saham, dalam kumpulan itu.

 

Pemegang saham utama kumpulan itu ialah ketua pegawai eksekutifnya Kia Phum Ang, dengan 16.96% pegangan ekuiti.

 

Advancecon dalam satu makluman awal pada 29 Mei 2023 memaklumkan bahawa An Thai tidak dipilih semula pada mesyuarat agung tahunan ke-26 kumpulan itu, walaupun beliau terus kekal sebagai COO.

 

Ia diikuti dengan pemberhentian jawatannya dalam jawatankuasa risiko kumpulan.

 

an thai
Yeo An Thai

 

Menurut laporan tahunan 2022 kumpulan itu, An Thai dilantik sebagai pengarah eksekutif dan COO pada 2016. 

 

Beliau menyertai Advancecon pada 2001 dengan beliau bertanggungjawab untuk operasi harian semua tapak projek pembinaan.

 

Sementara itu, pada 2010, kumpulan Advancecon membuat penyusunan semula dalaman, dengan An Thai menyandang peranan pengurus besar pengurusan projek sebelum dinaikkan pangkat sebagai COO.

 

Advancecon berkata, pengarah bebas bukan eksekutifnya Lee Elaine, 30, telah meletak jawatan untuk mengejar kepentingan peribadinya. Beliau juga melepaskan jawatannya dalam jawatankuasa audit, pencalonan, imbuhan dan risiko kumpulan. - DagangNews.com