Aeon jangka prospek Q3 kekal mencabar sebab COVID-19, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Aeon jangka prospek Q3 kekal mencabar sebab COVID-19, kata penganalisis

JUALAN runcit Aeon pada Jun dan Julai 2021 menyaksikan kemerosotan ketara jika dibandingkan paras sebelum pandemik. - Gambar tangkap layar video di Facebook AEON Retail Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Pasaraya besar, Aeon Co (M) Berhad mengakui prospek kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) dijangka terus mencabar ekoran kes COVID-19 yang kian meningkat. 

 

Perkara itu didedahkan oleh penganalisis di HLIB Research, Syifaa’ Mahsuri Ismail yang menjangkakan Aeon mungkin tidak kembali pulih sepenuhnya ke paras pra pandemik dan mengunjurkan pemulihan kukuh hanya berlaku selepas COVID-19 berjaya dibendung.

 

“Aeon kongsikan bahawa jualan runcit pada Jun dan Julai 2021 menyaksikan kemerosotan ketara jika dibandingkan paras sebelum pandemik. Walau bagaimanapun, kelonggaran yang diberikan bagi operasi sektor perniagaan bukan perlu pada pertengahan Ogos, mungkin menyaksikan pemulihan tetapi pada kadar yang perlahan. 

 

“Perlu diperhatikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau Fasa 1 mengalami penutupan kedai yang lebih panjang iaitu 79 hari (1 Jun hingga 31 Ogos 2021), manakala PKP 1.0 mencatatkan penutupan kedai lebih singkat, 46 hari (18 Mac hingga 3 Mei 2020),” kata Syifaa’ Mahsuri dalam satu nota kajian.

 

Syifaa’ Mahsuri tidak menolak kemungkinan kelonggaran yang diberikan kepada individu yang lengkap divaksinasi, termasuk kebenaran untuk makan di dalam restoran dan 11 jenis perniagaan boleh dibuka mencerminkan momentum pemulihan sedang berlaku.

 

Pada 2QFY21, Aeon kembali mencatatkan keuntungan bersih RM10.94 juta berbanding kerugian bersih RM9.56 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh penambahbaikan dalam margin barang niaga kasar dan mekanik pemasaran. 

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan menyusut 8.4% kepada RM874.2 juta daripada RM954.32 juta yang dicatatkan pada 2QFY20, diheret turun oleh kedua-dua segmen runcit dan perniagaan pengurusan hartanah yang mencatatkan hasil lebih rendah.

 

HLIB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham Aeon dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.39 sesaham. 

 

“Kami menjangkakan Aeon akan mencatatkan prestasi lebih baik menjelang kelonggaran sekatan pergerakan oleh kerajaan untuk individu yang lengkap divaksin,” kata Syifaa’ Mahsuri lagi. - DagangNews.com