Agong dukacita, Parlimen tertangguh akhiri penutupan lemah KLCI, lebih 600 kaunter saham rugi | DagangNews Skip to main content

Agong dukacita, Parlimen tertangguh akhiri penutupan lemah KLCI, lebih 600 kaunter saham rugi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat yang tidak selari dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggugat pasaran tempatan apabila ditutup lemah, menyambung penyusutan pembukaan pagi ini. 

 

Indeks utama, FBM KLCI ditutup hampir tidak berubah apabila merosot 2.46 mata kepada 1,512.93 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,515.39. 

 

Berdasarkan data pasaran ekuiti Malaysia oleh malaysiastock.biz, jumlah kaunter rugi menjangkaui hampir dua kali ganda kaunter untung, masing-masing berakhir pada jumlah 636 dan 350. 

 

Ini terutamanya diheret turun oleh indeks Pasaran ACE, kaunter telekomunikasi dan pengangkutan. 

 

Kestabilan politik di dalam negara semakin membimbangkan apabila Sultan Abdullah menzahirkan dukacita terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Ordinan Darurat.

 

Mengeruhkan lagi keadaan apabila persidangan Parlimen tertangguh dua kali rentetan daripada kenyataan dikeluarkan Istana Negara tengah hari ini.

 

ketika pelbagai pihak menantikan perkembangan terbaharu di Parlimen, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mengumumkan bahawa sidang hanya akan disambung pada jam 3.30 petang.

 

Namun, sidang Dewan Rakyat sekali lagi ditangguhkan ke jam 5.15 petang susulan terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen. 

 

​​Sehubungan itu, Timbalan Speaker, Mohd Rashid Hasnon mengarahkan saringan gejala dan ujian pengesanan dijalankan ke atas semua yang hadir dan berada di Parlimen termasuk Ahli Parlimen, pegawai, dan pekerja-pekerja.

 

Dalam masa sama, tiada siapa dibenarkan keluar dari kompleks Parlimen sehingga keputusan diperolehi.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sehingga 28 Julai 2021, sebanyak 56 kes positif COVID-19 telah dikesan melibatkan dua orang Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 orang pegawai dari pelbagai agensi kerajaan sekali gus menjadikan kadar positif adalah 2.7%. 

 

Daripada 56 kes yang positif itu, 39 terdiri daripada mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin. 

 

Jumlah kes jangkitan COVID-19 yang menghampiri angka 20,000 juga mencetuskan kebimbangan dan keyakinan para pelabur terhadap pasaran ekuiti tempatan. 

 

Berada di kedudukan teratas dalam kaunter paling rugi, Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad berakhir 64 sen lebih rendah kepada RM32.04. 

 

Turut merasai impak negatif itu adalah Hong Leong Financial Group Berhad yang menyambung kemerosotan pembukaan pagi ini apabila harga sahamnya menyusut 32 sen kepada RM17.16.

 

Kaunter untung pula diungguli oleh saham Malaysian Pacific Industries Berhad yang menyaksikan lonjakan terbesar sebanyak RM1.20 kepada RM42.82. 

 

Sementara saham Euro Holdings Berhad, Tanco Holdings Berhad, PUC Berhad dan Kanger International Berhad meraih perhatian pelabur apabila mengungguli kaunter paling aktif pada petang ini. - DagangNews.com