KUALA LUMPUR 28 Feb - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.
Seri Paduka juga menitahkan supaya kerajaan terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.
"Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.
"Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat beta untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan.
"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta," titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini, menurut Bernama.
Sementara itu, Seri Paduka menitahkan kerajaan agar menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan. - DagangNews.com