AirAsia perjelas isu bayaran balik penerbangan, hanya 0.8% dalam proses pembayaran | DagangNews Skip to main content

AirAsia perjelas isu bayaran balik penerbangan, hanya 0.8% dalam proses pembayaran

Foto AirAsia berhad
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEPANG 29 Mac - AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) telah menyelesaikan lebih 99% pertanyaan pelanggan berkenaan permintaan bayaran balik yang disebabkan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Bo Lingam berkata, pihaknya menerima jumlah pertanyaan yang amat tinggi dengan purata kira-kira 200,000 setiap hari temasuk semasa tempoh puncak. 

 

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan lebih 5 juta pelanggan sejak wabak COVID-19 bermula dan menyelesaikan sebahagian besar permintaan mereka berkaitan penerbangan yang dibatalkan dengan memberikan kembalian dalam bentuk akaun kredit, bayaran balik tunai ataupun penukaran penerbangan.

 

“Keupayaan menangani jumlah permintaan yang teramat tinggi ini merupakan suatu pencapaian luar biasa bagi kami.  Secara keseluruhannya bagi semua syarikat penerbangan bawah AAAGL, setakat ini kami telah memberikan kembalian kepada lebih 3 juta tempahan tiket sama ada dalam bentuk bayaran balik tunai ataupun akaun kredit. 

 

"Secara keseluruhan kami menerima permintaan untuk bayaran balik sebanyak AS$1.80 bilion daripada para tetamu sejak 2020. Bagi permintaan bayaran balik tunai, lebih 99% daripadanya telah berjaya diselesaikan dengan hanya AS$14.66 juta atau 0.8% masih dalam proses pembayaran dan ia dijangka selesai dalam beberapa bulan sahaja lagi. 

 

"Dengan pembukaan semula banyak negara yang membolehkan kami mempertingkatkan perkhidmatan penerbangan di semua pasaran utama, kami akan berupaya mempercepatkan proses pembayaran balik yang berbaki ini dengan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd), Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia telah menyelesaikan lebih 90 peratus bayaran balik kepada penumpang setakat ini walaupun masalah kewangan yang dihadapi oleh industri penerbangan akibat pandemik COVID-19 dan dijangka tidak menghadapi halangan untuk menyelesaikan lebih banyak bayaran balik dalam masa beberapa bulan akan datang.

 

Menurut Bo, pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan pelanggannya mendapat maklumat terkini mengenai status bayaran balik melalui e-mel.

 

"Mereka juga boleh menyemak status tersebut pada bila-bila masa melalui chatbot berasaskan AI (Artificial Intelligence) iaitu AVA (Allstar Maya AirAsia) yang mempunyai kemampuan untuk menguruskan pertanyaan pelanggan dalam pelbagai bahasa," katanya.

 

Beliau berkata, sebahagian besar pelanggan telah memilih akaun kredit yang diproses serta-merta dan sah sehingga dua tahun untuk tempahan dari ia dikeluarkan. 

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta pelanggan yang bersedia menerima bayaran balik mereka dalam bentuk akaun kredit yang merupakan cara terbaik untuk membantu menyokong pemulihan kami.

 

“Dengan penyambungan semula penerbangan domestik dan pembukaan semula sempadan di kebanyakan pasaran utama, kami amat berbesar hati bahawa 88% daripada akaun kredit yang kami keluarkan telah digunakan, menandakan keinginan dan keyakinan yang kukuh terhadap perjalanan udara dalam kalangan orang ramai.

 

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas kesabaran mereka, dan berharap untuk mengalu-alukan mereka semua kembali dalam penerbangan AirAsia selaras komitmen teguh kami untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara terbaik yang mudah diakses, berpatutan dan inklusif di rantau ini," katanya. - DagangNews.com