AirAsia sambung semula penerbangan dua laluan dari Kuala Lumpur-Vietnam, tambang serendah RM149 | DagangNews Skip to main content

AirAsia sambung semula penerbangan dua laluan dari Kuala Lumpur-Vietnam, tambang serendah RM149

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Di atas permintaan ramai pengembara di seluruh rantau ini, AirAsia bakal menyambung semula perkhidmatan penerbangan berjadualnya antara Kuala Lumpur dan dua destinasi di Vietnam iaitu Nha Trang, dan Da Lat, masing-masing bermula pada 8 Julai 2022 dan 10 Julai 2022.

 

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke dua destinasi pelancongan popular itu adalah tersedia untuk tempahan dari serendah RM149 sehala.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, AirAsia berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam pemulihan industri pelancongan dengan menyambung semula laluan-laluan popular ke Vietnam. 

 

"Kini tiba masanya untuk para tetamu kami meneroka dan melawat semula pantai Nha Trang yang menyajikan pelbagai hidangan laut popular dan keindahan angin lautnya yang menyegarkan, atau mungkin memilih untuk menyelami keindahan hutan pain, tasik dan air terjun di Da Lat “City of Eternal Spring”. Vietnam pastinya dapat menyajikan sesuatu untuk semua.

 

“Dengan penyambungan semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Vietnam yang dinanti-nantikan oleh para tetamu serta syarikat penerbangan kami, kami ingin merakamkan tanda penghargaan kami kepada kerajaan Vietnam kerana memudahkan syarat perjalanan dan kemasukan bagi pelawat ke Vietnam. 

 

"Kami akan bekerjasama erat dengan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Vietnam untuk memberikan lebih banyak peluang dalam membantu menyokong pemulihan ekonomi di kedua-dua rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semua pengembara yang menerima vaksin lengkap boleh memasuki Vietnam tanpa sebarang ujian pra-pelepasan, dan warganegara Malaysia boleh memasuki Vietnam tanpa visa dan tinggal di negara tersebut selama 14 hari. 

 

 

airasia

 

 

Semasa ketibaan, pengembara yang berumur dua tahun ke atas harus memuat turun aplikasi PC-COVID dan mengisytiharkan sebarang simptom pada aplikasi tersebut sepanjang tempoh mereka tinggal di negara itu.

 

Mereka juga memiliki insurans perubatan yang mempunyai perlindungan untuk rawatan COVID-19 dengan liabiliti minimum sebanyak AS$10,000. Pengasingan diri tidak lagi diperlukan apabila tiba di Vietnam.

 

 

airasia

 

 

Ahli boleh memperoleh airasia points untuk semua pembelian mereka di airasia Super App, daripada penerbangan ke penginapan hotel dan tawaran gaya hidup. 

 

Gunakannya seperti wang tunai untuk menebus penerbangan percuma, penginapan hotel, barangan runcit dan tawaran gaya hidup dengan rakan kongsi eksklusif AirAsia.

 

Para tetamu dinasihatkan supaya menyemak syarat dan keperluan yang dikenakan oleh pihak berkuasa sebelum membeli sebarang penerbangan dan semasa ketibaan. - DagangNews.com