AirAsia sambung semula penerbangan Pulau Pinang ke Kuching, Kota Kinabalu dengan tambang serendah RM119 | DagangNews Skip to main content

AirAsia sambung semula penerbangan Pulau Pinang ke Kuching, Kota Kinabalu dengan tambang serendah RM119

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - AirAsia mengumumkan penyambungan semula laluan domestik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu mulai 31 Mac 2024.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, tempat duduk boleh ditempah dengan tambang sehala bermula serendah RM119 untuk penerbangan dari Kuching ke Pulau Pinang dan RM159 untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang. 

 

Katanya, orang ramai boleh menempah penerbangan tersebut sehingga 18 Februari 2024 untuk menikmati tambang promosi bagi perjalanan bermula 31 Mac sehingga 30 November 2024 dan tempahan boleh dibuat melalui aplikasi airasia Superapp dan laman web airasia.com.

 

"Pelancaran semula laluan ini yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dari hab utama di Kuching dan Kota Kinabalu merupakan pilihan popular dalam kalangan para pelancong dari utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah. 

 

"Selain Pulau Pinang, para pelancong dari wilayah utara yang lain termasuk Seberang Perai, Kedah, Perlis dan Perak juga boleh menikmati penyambungan semula laluan ini untuk pilihan perjalanan yang lebih mudah dan berbaloi ke Kuching dan Kota Kinabalu serta menerokai keindahan alam semula jadi, kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya di wilayah Borneo Sarawak dan Sabah," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, AirAsia juga menghubungkan Kuching dan Kota Kinabalu dengan penerbangan harian secara terus yang menawarkan lebih pilihan kepada para pelancong untuk merancang perjalanan dan percutian ke Sarawak dan Sabah sekali gus. 

 

Katanya, dari Kuching, para pelancong dapat menerokai destinasi lain di Sarawak melalui penerbangan harian secara terus ke Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau di pantai timur Sabah.

 

 

airasia

 

 

"Dengan penyambungan semula laluan ini, Pulau Pinang kini dapat dikunjungi para pelancong dari Sarawak dan Sabah bagi menikmati pelbagai tarikan pelancongan yang ditawarkan termasuklah jejak kulinari, bangunan warisan bersejarah dan keindahan alam semula jadi. 

 

"Selain itu, laluan ini juga menyediakan kesalinghubungan dalam memacu sktor pendidikan dan perniagaan. Dari Pulau Pinang, pelancong dapat menyambung perjalanan mereka melalui jalan raya mahupun perkhidmatan keretapi ke negeri utara yang lain malah sehingga ke selatan Thailand," katanya. 

 

Tambahnya, AirAsia juga menawarkan penerbangan secara terus dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi, Bangkok, Kuala Lumpur, bandar raya Ho Chi Minh serta pelbagai destinasi menarik yang lain. - DagangNews.com