AirAsia tambah bilangan penerbangan ke Thailand dengan 3 laluan baharu bermula April 2022 | DagangNews Skip to main content

AirAsia tambah bilangan penerbangan ke Thailand dengan 3 laluan baharu bermula April 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - AirAsia akan menambah bilangan penerbangan antarabangsa dari Malaysia ke Thailand dengan tiga laluan baharu iaitu Pulau Pinang-Bangkok dan Kuala Lumpur-Hat Yai bermula 13 April 2022 dan Johor Bahru-Bangkok  bermula 3 Mei 2022.

 

Syarikat penerbangan itu juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Bangkok bermula 12 April 2022 selain penerbangan sedia ada melibatkan laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan Kuala Lumpur-Phuket yang dikendalikan AirAsia Malaysia untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk ke Thailand.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand, Santisuk Klongchaiya berkata, penyambungan semula penerbangan antarabangsa syarikat itu sangat dinantikan oleh semua pihak dengan Thailand membuka semula sempadan negara selain tiada lagi larangan perjalanan bermula April 2022.

 

Katanya, Malaysia dan Thailand merupakan negara yang mempunyai potensi dari segi pelancongan dan ekonomi, pihaknya percaya dengan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa itu akan menyokong pemulihan ekonomi kedua-dua negara.

 

"Kami memilih untuk menyambung penerbangan ke negara yang berkongsi polisi yang sama seperti Thailand bagi memudahkan urusan pelanggan tanpa perlu memikirkan isu kuarantin. 

 

"Thailand mungkin menjadi antara destinasi popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan sebelum ini kami sudah membawa mereka mengembara ke negara ini dan menikmati pengalaman baharu. 

 

"Bermula dengan pembukaan semula laluan Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Johor Bahru dan ia akan dikembangkan pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan pelanggan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tambang promosi bermula daripada RM169 sehala dan tempahan boleh dibuat menerusi airasia Super App bermula 15 hingga 30 Mac 2022 bagi penerbangan bermula 21 Mac 2022 higga 25 Mac 2023 serta menerima kemudahan pindaan penerbangan. 

 

Pelanggan yang mengambil penerbangan dari Thailand ke pelbagai negara menggunaka AirAsia akan dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa perlu menjalani kurantin mengikut ketetapan setiap negara.

 

Bagi mereka yang tiba di Thailand, dibenarkan untuk melepasi perintah kuarantin menerusi Skim Test&Go dengan mendaftarkan diri untuk sijil kemasukan elektronik iaitu Thailand Pass dengan melengkapkan segala dokumen di https://tp.consular.go.th/. - DagangNews.com