AirAsia tawar tambang promosi bermula RM189 ke tujuh destinasi di selatan India | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang promosi bermula RM189 ke tujuh destinasi di selatan India

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - AirAsia mengumumkan tambang promosi istimewa bermula RM189 untuk tujuh destinasi di selatan India mulai hari ini hingga 24 Disember, sempena pengumuman pengecualian visa dari India ke Malaysia baru-baru ini.

 

Tujuh destinasi berkenaan, termasuk Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata dan tidak lama lagi ke Thiruvananthapuram.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pengecualian visa selama 30 hari bagi warganegara India ke Malaysia merupakan salah satu inisiatif penting di AirAsia pada tahun ini. 

 

"Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesalinghubungan antara India dan Malaysia sejak laluan pertama dilancarkan ke India pada 2008.

 

“Mengakhiri 2023 dan sempena menyambut tahun baharu yang menjelang tiba dengan perkembangan positif untuk sektor pelancongan, kami yakin bahawa inisiatif ini akan membolehkan lebih ramai pelancong dari India mengunjungi Malaysia dan destinasi-destinasi lain di rantau ini dengan tambang berpatutan. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak yang terlibat untuk terus memajukan industri pelancongan Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain itu, inisiatif berkenaan akan memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara dan AirAsia menyambut baik pengumuman tersebut dengan melancarkan laluan baharu ke Thiruvananthapuram (bermula 21 Februari 2024) dan tambang istimewa antara Malaysia dan India. 

 

 

airasia

 

 

Syarikat penerbangan itu juga meningkatkan kekerapan penerbangan antara Malaysia dan India berjumlah 69 penerbangan mingguan bermula pada suku pertama tahun 2024, sehingga 1.5 juta tempat duduk setahun.

 

Pelancong dari India yang ingin mengunjungi Malaysia boleh terbang terus ke dan dari Kuala Lumpur dari mana-mana laluan ini bermula INR4,999 dan meneruskan perjalanan mereka ke destinasi-destinasi menarik lain di Malaysia. Tempoh perjalanan bermula sekarang dan berakhir pada 30 September 2024.

 

AirAsia akan mengendalikan lapan laluan terus dari Malaysia ke bandar-bandar utara dan selatan India seperti Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru dan Kolkata melalui penerbangan jarak dekat, AirAsia Malaysia, serta ke New Delhi dan Amritsar melalui syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X.

 

AirAsia akan memulakan penerbangan ke bandar Thiruvananthapuram di negeri selatan Kerala, menjadikannya laluan terus kedua ke negeri itu selepas Kochi. 

 

Di samping itu, AirAsia juga menawarkan pilihan perkhidmatan 'Fly-Thru' yang mana para tetamu yang melancong dari India ke Malaysia boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit ke lebih 130 destinasi AirAsia di 22 negara. - DagangNews.com