AirAsia telah bayar lebih separuh daripada RM300 juta pinjaman Sabah Development Bank - Tony Fernandes | DagangNews Skip to main content

AirAsia telah bayar lebih separuh daripada RM300 juta pinjaman Sabah Development Bank - Tony Fernandes

Tony Fernandes menerima anugerah Lembaga Pelancongan Sabah yang disampaikan Joniston Bangkuai dan Julinus Jimit di Kota Kinabalu 13 Ogos 2024. -Gambar AirAsia

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kumpulan AirAsia telah membayar balik lebih separuh daripada RM300 juta yang dipinjam daripada Sabah Development Bank, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

 

Pinjaman tersebut diluluskan ketika perintah kawalan pergerakan akibat wabak COVID-19 apabila syarikat penerbangan tambang rendah itu berada dalam bahaya untuk ditutup.

 

Tony berkata, pinjaman berkenaan membolehkan syarikat penerbangan itu bertahan dalam perintah berkurung selama dua tahun dan akhirnya merupakan tawaran yang baik untuk kedua-dua pihak.


“Kami telah membayar pinjaman sehingga RM170 juta dan akan terus membayar balik pinjaman dalam tempoh dua tahun akan datang. Kami juga membayar faedah RM69 juta,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu.

 

Pada tahun 2020, laporan berita mengenai pinjaman itu menimbulkan beberapa kontroversi sebagai "usaha berisiko" untuk bank milik kerajaan yang dibebani hutang.


Kemudian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pinjaman itu adalah langkah yang dikira akan memberi manfaat kepada negeri tersebut dalam pelbagai cara.


Sementara iu, Tony berkata, sejujurnya pinjaman itu membolehkan Kumpulan AirAsia bertahan semasa COVID-19.

 

“Kami membayar faedah RM69 juta jadi ia adalah satu tawaran yang bagus. Kami bukan sahaja menyelamatkan AirAsia tetapi kami terus membawa orang ramai dan membenarkan pelancongan diteruskan.


"Kami telah menjadi pelanggan yang baik dan membayar balik pinjaman tanpa perniagaan yang bukan-bukan, jadi ia adalah perniagaan yang baik untuk kedua-duanya," kata Tony.

 

Beliau menjelaskan sebahagian daripada pinjaman RM300 juta itu digunakan untuk membangunkan kemudahan Teleport, termasuk kemudahan setor sejuk di Sabah, aplikasi baharu kumpulan itu bernama Move dan AirAsia.

 

“Kami boleh mempunyai ketelusan penuh, CFO (ketua pegawai kewangan) saya boleh memberi penerangan penuh mengenai pinjaman itu. Tidak ada apa-apa kontroversi, ia adalah perjanjian perniagaan yang baik untuk kedua-dua pihak,” katanya seperti dilaporkan media.

 

Tony semalam telah diiktiraf oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah atas sumbangan luar biasanya kepada industri pelancongan negeri itu.

 

Anugerah berkenaan disampaikan kepada Tony oleh Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah dan dihadiri Julinus Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah - DagangNews.com