Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Saham AirAsia X Bhd. susut 21.05 mata dalam dagangan setakat 11.30 pagi ini dengan harga sahamnya diniagakan pada 7.5 sen selepas syarikat penerbangan ini jatuh dalam kategori Nota Amalan PN17 (PN17).
Jumaat lalu, menerusi makluman di Bursa Malaysia, AirAsia X berkata, ia mempunyai 12 bulan untuk menyesuaikan keadaan kewangannya, yang mana langkah itu jika gagal akan menyebabkan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.
Ini berikutan Juruaudit luar Messrs Ernst & Young PLT (EY) menyatakan penafian terhadap penyata kewangan teraudit bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2021 syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia Group ini.
Menurut Public Investment Bank Research, AirAsia X terus berdepan dengan kekangan kecairan yang teruk dan hanya kejayaan penstrukturan semula hutang akan menentukan masa depan syarikat ini.
Katanya, menerusi dana pembiayaan baharu daripada pelabur baharu dan sedia ada akan menyediakan modal mencukupi bagi syarikat ini untuk kembali beroperasi apabila sempadan antarabangsa dibuka.
"Walaupun pemegang saham telah meluluskan semua cadangan ketika mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 1 Jun lalu, tetapi langkah pengumpulan dana hanya boleh dilaksanakan selepas berjaya menyelesaikan cadangan penstrukturan semula hutang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : AirAsia X adakan pertemuan dengan pemiutang 12 Nov ini
Pada 18 Oktober lalu, AirAsia X dalam makluman di Bursa Malaysia menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan pemiutang pada 12 November ini untuk mengundi bagi cadangan pelan penstrukturan semula hutangnya.
Ia juga dilaporkan bercadang untuk membayar hanya 0.5% kepada setiap pemiutang dan menghentikan semua kontrak sedia ada bagi membolehkannya menstruktur semula liabiliti sebanyak RM33.65 bilion.
Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'underperform' bagi saham AirAsia X dengan harga sasaran (TP) pada 1 sen sementara menanti hasil daripada langkah penstrukturan semula hutangnya. - DagangNews.com