Alat digital bantu syarikat atasi PKP, teruskan ambil pekerja baharu - Aisling | DagangNews Skip to main content

Alat digital bantu syarikat atasi PKP, teruskan ambil pekerja baharu - Aisling

Pengasas dan Pengarah Urusan Aisling Group, Melissa Norman

 

KUALA LUMPUR 29 Okt — Sebilangan industri di Malaysia telah terjejas oleh pandemik COVID-19 dan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Kerajaan bagi mencegah dan mengawal penyebaran virus tersebut.

 

Namun begitu, syarikat-syarikat yang semakin berkembang semasa pandemik telah menemui pelbagai cara bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut, agar mereka dapat meneruskan perancangan perekrutan pekerja mereka semasa tempoh sukar ini.

 

Sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah penyedia penyelesaian bakat tempatan, Aisling Group, dan firma pembangunan kepimpinan yang dipacu oleh tujuan, Leaderonomics, mendapati bahawa syarikat-syarikat di Malaysia menggunakan alat digital seperti temuduga melalui video, seiring dengan temuduga panel, ujian teknikal, ujian psikometrik, dan pembentangan, dalam usaha mereka bagi meneruskan perekrutan pekerja semasa pandemik.

 

Kebanyakan syarikat yang ditinjau juga mengatasi jangkaan yang mengatakan bahawa pengambilan pekerja akan berkurangan atau ditangguhkan disebabkan pandemik.

 

Lebih 95% responden telah mengambil pekerja baharu pada tahun 2020, dan 50% daripada mereka mengambil lebih daripada 25 pekerja baharu tahun lalu.

 

Hal ini turut dapat dikaitkan dengan industri syarikat-syarikat ini: Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan; Pembuatan, Penyumberan Luar; dan Pembangunan Perisian, di mana kesemuanya telah dikelaskan sebagai penyedia perkhidmatan perlu ketika pandemik, dan tidak terlalu terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding syarikat-syarikat lain.

 

Hasil kajian ini, serta banyak lagi, telah dikumpulkan di dalam sebuah dokumen Kertas Putih bertajuk ‘Companies Thriving During the Pandemic: Most in-demand talent and skills during an unprecedented time’, yang telah dikeluarkan pada 28 Oktober 2021 oleh Aisling Group dan Leaderonomics.

 

 

aisling
Melissa Norman (tengah) menerangkan dapatan daripada kaji selidik pada sidang media di Kuala Lumpur, 28 Oktober 2021.

 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Aisling Group, Melissa Norman berkata, pandemik ini telah membawa perubahan drastik kepada cara hidup, bekerja, dan mengisi waktu lapang; dan perniagaan serta masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan pantas untuk kekal relevan dan bertahan.

 

Menurutnya, walaupun langkah-langkah sekatan pergerakan telah memberi kesan kepada ramai pihak, ada terdapat banyak perniagaan dalam industri yang dikira sebagai perlu. Mereka mendapat kebenaran untuk meneruskan operasi, walaupun memerlukan beberapa pelarasan.

 

“Tinjauan ini bertujuan untuk mengumpulkan maklumat berkenaan pengambilan pekerja, peningkatan kemahiran dan pemahiran semula yang diamalkan oleh syarikat-syarikat yang berkembang ketika musim pandemik ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tinjauan berkenaan juga mendapati kebanyakan responden menamakan Teknologi Maklumat (IT) dan Sumber Manusia (HR) sebagai kemahiran dan peranan yang paling diperlukan semasa pandemik, dengan kebanyakan syarikat mencari mereka yang boleh mengisi peranan dalam IT, Teknologi dan Digital semasa tempoh tersebut.

 

Selain daripada melabur untuk meningkatkan kemahiran IT, teknologi dan digital melalui peningkatan kemahiran dan memahirkan semula, para majikan juga turut menyediakan latihan untuk pekerja mereka bagi meningkatkan kemahiran insaniah mereka, satu lagi kemahiran yang dilihat sebagai perlu semasa tempoh pandemik.

 

Tinjauan yang sama turut menemukan bahawa ‘pengurusan sempadan’ merupakan sebuah daripada kemahiran yang dikira penting semasa pandemik, sebuah trend yang timbul hasil daripada aturan bekerja dari rumah (BDR) yang harus dilalui oleh kebanyakan syarikat.

 

Norman berkata, banyak trend menarik berkenaan pengambilan, pembelajaran dan pembangunan pekerja antara syarikat-syarikat yang berkembang semasa pandemik yang dapat diperhatikan semasa pandemik dalam konteks Malaysia.

 

‘’Kami melihat ia sebagai sesuatu yang baik sekiranya penggunaan teknologi dalam amalan pengambilan pekerja, berterusan sehingga selepas pandemik dan ekonomi kembali rancak,” ujarnya.

 

Tinjauan tersebut melibatkan sebanyak 61 responden terpilih daripada bahagian Sumber Manusia pelbagai organisasi dalam pelbagai industri, antaranya daripada Teknologi Maklumat (IT); Pembuatan & Elektronik (M&E); dan Perbankan & Perkhidmatan Kewangan.

 

Layari https://aislingconsulting.com untuk memuat turun Kertas Putih tersebut dan untuk maklumat lanjut mengenai Aisling. – DagangNews.com