Alibaba Cloud, UM meterai MoU tingkatkan kecekapan digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

Alibaba Cloud, UM meterai MoU tingkatkan kecekapan digital Malaysia

Alibaba Cloud menjalin kerjasama dengan Universiti Malaya menerusi Program Pemerkasaan Akademik Alibaba Cloud (AAEP)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Alibaba Cloud menjalin kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) menerusi Program Pemerkasaan Akademik Alibaba Cloud (AAEP) untuk memperkenalkan kurikulum termaju dalam pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) bagi mahasiswa dan pendidik di institusi pengajian tinggi berkenaan.

 

Pengurus Besar Rantau Indonesia dan Malaysia Alibaba Cloud Intelligence, Sean Yuan berkata, membimbing masa depan digital memerlukan pendekatan proaktif yang menyokong individu dan organisasi di barisan depan dalam digitalisasi. 

 

Katanya, usaha ini seiring dengan komitmen berterusan dan pelaburan pihaknya dalam memupuk bakat-bakat digital di Malaysia. 

 

"Kami amat gembira menerima UM sebagai rakan kongsi yang berharga dalam Program Pemerkasaan Akademi Alibaba Cloud (AAEP), Pusat Kemahiran Alibaba Cloud dan program latihan amali sulung kami di Malaysia. 

 

"Kami mengalu-alukan pemikiran jauh UM dan komitmen teguh institusi berkenaan dalam memperkasakan pelajar serta melengkapkan pendidik dengan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk maju dalam bidang ini. 

 

"Kami percaya bahawa menerusi usaha sama ini, UM akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan pandangan digital dan pelbagai peluang yang disediakan dalam dunia digitalisasi yang pesat berkembang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

alibaba
Prof Dr Kaharudin Dimyati dan Sean Yuan ketika memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Alibaba Cloud dan UM.

 

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Prof Dr Kaharudin Dimyati pula berkata, sejak permulaan lagi pihaknya mengenal pasti bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara ini. 

 

Sehubungan itu katanya, kesemua program universiti, termasuk inisiatif-inisiatif akan datang, adalah berpaksikan teknologi. 

 

"Kami sentiasa menyediakan pendidik dan pelajar dengan peralatan digital yang diperlukan untuk berada di barisan hadapan kemajuan.

 

"Integrasi AAEP dalam kurikulum pengajaran merupakan bukti komitmen kami kerana ia memperkukuhkan lagi program-program sedia ada dan menyumbang terhadap perkembangan graduan dan profesional yang dijangka akan memimpin pertumbuhan digital dalam bidang masing-masing," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak juga melancarkan Program Latihan Amali Alibaba Cloud dan Pusat Kemahiran Akademi Alibaba Cloud di UM, yang mana kerjasama itu bermatlamat untuk membentuk pemimpin dan bakat-bakat digital generasi baharu di Malaysia. 

 

Katanya, mahasiswa dan pendidik di UM akan berpeluang untuk mendalami pemahaman mereka berkenaan teknologi awan menerusi penglibatan dalam bengkel-bengkel teknologi termaju, sesi latihan komprehensif yang disediakan secara dalam talian serta pelbagai kursus pensijilan ditawarkan di bawah program AAEP.  - DagangNews.com