AmanahRaya REIT, Kolej Universiti Alfa tandatangani perjanjian sewaan hartanah di Subang Jaya | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT, Kolej Universiti Alfa tandatangani perjanjian sewaan hartanah di Subang Jaya

Dari kiri ke kanan, Hawa Darlida Abd Azis, Pengurus, Perundangan Kumpulan & Pematuhan Pacific Trustees Berhad , George Cheah Ken-Lee, Pengarah Pacific Trustees Berhad, YM Tunku Rozita Tunku Abdul Malek, Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, Dr Shaharuddin Mohd Satha, Pengerusi ALFA International College Sdn Bhd dan Fairuz Kamarulzaman, Pengarah Urusan ALFA International College Sdn Bhd.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menandatangani perjanjian penyewaan jangka panjang dengan ALFA International College Sdn Bhd (Alfa) untuk hartanahnya di Subang Jaya.

 

Hartanah ini terletak di kawasan perniagaan komersial di USJ1, kira-kira 15 kilometer barat daya pusat bandar raya Kuala Lumpur. 

 

Bangunan 12 tingkat itu dibina khas untuk tujuan pendidikan dan adalah  pegangan bebas dengan keluasan tanah 51,957 kaki persegi dan keluasan sewa bersih 131,387 kaki persegi.

 

Perjanjian yang ditandatangani Pemegang Amanahnya, Pacific Trustees Berhad dengan Alfa bertepatan dengan tamatnya perjanjian penyewaan dengan Kolej Segi pada 28 Februari 2024. 

 

Perjanjian penyewaan dengan Alfa merangkumi tempoh sewaan selama 18 tahun pada pengaturan sewaan bersih dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AmanahRaya REIT lupus bangunan Contraves di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta kepada 4X Software

 

Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Sdn Bhd yang merupakan Pengurus kepada AmanahRaya REIT, Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengalu-alukan Alfa sebagai penyewa jangka panjang baharu. 

 

"Reputasi mereka sebagai institusi pendidikan yang berkualiti adalah sejajar dengan visi kami. 

 

"Kami yakin  ia akan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan hartanah ini serta meningkatkan pendapatan harta bersih AmanahRaya REIT. 

 

"Hartanah itu dijangka menjana aliran pendapatan yang konsisten dengan pengembalian sewa positif setiap tiga tahun, yang akan memberi manfaat kepada Pemegang Unit," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tunku Rozita menambah, AmanahRayaREIT ingin terus mengekalkan aset tersebut sebagai asas pendidikan dan sumbangan kepada elemen sosial serta pada masa yang sama melaksanakan strategi pengagihan semula aset untuk meningkatkan Agihan Seunit (DPU) dan harga saham.

 

Sehingga kini, AmanahRaya REIT menyelia portfolio merangkumi 11 hartanah di seluruh negara, meliputi sektor pendidikan, pejabat, perindustrian, peruncitan, hospitaliti dan kesihatan. - DagangNews.com