AME Elite rancang lancar taman perindustrian dengan GDV RM1 bilion di Pulau Pinang pada separuh kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

AME Elite rancang lancar taman perindustrian dengan GDV RM1 bilion di Pulau Pinang pada separuh kedua 2024

KUALA LUMPUR 24 Julai - Penyedia rumusan ruang industri, AME Elite Consortium Bhd merancang untuk melancarkan taman perindustrian Northern TechValley seluas 71.2 hektar di Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion pada separuh kedua tahun ini.

 

Kumpulan itu berkata, usaha di luar Johor itu membolehkan mereka meneroka pasaran baharu selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi hartanah perindustrian di negeri itu.

 

Katanya, mereka juga sedang giat mengejar peluang bagi meluaskan kehadirannya di lokasi lain yang berpotensi tinggi di seluruh Malaysia.

 

Selain itu, pengambilalian tanah kumpulan baru-baru ini di Kulai, Johor, mengukuhkan lagi saluran pembangunannya, didorong lonjakan dalam pelaburan pusat data dan pembuatan bernilai tinggi.

 

"Trend ini, digabungkan dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penambahbaikan infrastruktur yang akan datang seperti Rapid Transit System Link (RTS Link) dijangka memacu lagi permintaan bagi hartanah perindustrian, khususnya dalam bidang kepakaran kumpulan itu,” katanya dalam laporan tahunan terhabarunya, hari ini.

 

Berdasarkan laporan tahunan itu, AME Elite memperoleh RM283.6 juta dalam jualan baharu pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), dengan jumlah tempahan berjumlah RM276.1 juta pada akhir Mac 2024.

 

Keuntungan bersihnya untuk FY24 susut sebanyak 8.32% kepada RM93.1 juta, turun daripada RM101.6 juta setahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan keuntungan nilai saksama yang lebih rendah ke atas hartanah pelaburan, yang jatuh kepada RM36.6 juta daripada RM116.26 juta, berikutan penjualan hartanah perindustrian kepada AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) pada FY23.

 

Bagaimanapun, hasil FY24 kumpulan meningkat kepada RM716.9 juta, daripada RM575.9 juta, dipacu oleh permintaan hartanah industri, dan peningkatan sumbangan daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan, pelaburan hartanah dan perkhidmatan pengurusannya. - DagangNews.com