AmInvest yakin pengeluaran MSM akan meningkat pada 2022 | DagangNews Skip to main content

AmInvest yakin pengeluaran MSM akan meningkat pada 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - AmInvestment Bank Research berkeyakinan bahawa penghasilan minyak sawit mentah (MSM) akan meningkat pada tahun kewangan 2022 susulan pengeluaran tandan segar sawit (FFB) yang banyak.

 

Firma itu mengjangkakan, peningkatan pengeluaran FFB itu akan disokong oleh kehadiran pekerja asing yang tinggi kesan daripada pemulihan daripada sekatan yang berlangsung pada 2019. 

 

"Pasaran Minyak Dunia menyasarkan pengeluaran MSM Malaysia akan meningkat antara 1.0 juta ke 1.1 juta tan metrik bagi tahun kewangan 2022.

 

"Dalam perkembangan sama, pengeluaran MSM Indonesia dijangka bertambah antara 1.7 juta ke 1.9 juta tan metrik bagi tahun yang sama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan pengeluaran MSM sebanyak 11.3% pada Disember 2021 adalah disumbangkan oleh penguncupan sebanyak 14.7% di Semenanjung dan 9% di Sabah.

 

Berbanding 2020, pengeluaran MSM pada 2021 menurun sekitar 5.4% kepada 18.1 juta tan metrik kerana kekurangan tenaga kerja dan pekerja asing tidak dibenarkan memasuki Malaysia ekoran penularan COVID-19.

 

sawit

 

"Banjir di Selangor, Johor dan Pahang juga menjadi penyumbang kepada penurunan pengeluaran MSM pada Disember 2021.

 

"Pengeluaran MSM di Selangor menurun sebanyak 22.4% pada Disember manakala Johor mencatatkan penurunan 9.7% sementara di Pahang merekodkan penurunan 17.7%  kepada 219,541 tan pada bulan sama," katanya. 

 

Kadar esksport sawit juga menurun kepada 10.6% kepada 15.6 juta tan pada 2021 kerana penurunan permintaan daripada China sebanyak 31.4% selain penurunan penghantaran ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

 

Bagaimanapun, dari sudut positif, kadar eksport sawit ke India melonjak sebanyak 30.9% kepada 3.6 juta tan pada 2021.

 

Firma itu kekal 'neutral' ke atas sektor berkenaan dengan portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dijangka memberi kesan kepada harga saham-saham perladangan.

 

Firma itu juga menjangkakan harga MSM untuk tahun kewangan 2022 akan berada pada paras RM3,000 setan berbanding RM3,500 setan pada 2021. - DagangNews.com