AmInvestment garis 3 trend sektor penjagaan kesihatan yang perlu diperhati pada 2022 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment garis 3 trend sektor penjagaan kesihatan yang perlu diperhati pada 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - AmInvestment menggariskan 3 trend mega yang akan mempengaruhi sektor penjagaan kesihatan pada tahun hadapan, justeru, mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut.

 

Ini terutamanya berkaitan pemulihan daripada pandemik COVID-19, penjagaan kesihatan digital dan penekanan yang tinggi terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), jelas penganalisisnya, Alan Lim Seong Chun dalam nota kajian hari ini.

 

Menurutnya, kemunculan varian baharu Omicorn selepas Alpha, Beta, Gamma dan Delta kini mewujudkan ketidaktentuan dalam persekitaran pandemik yang masih berterusan. 

 

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) yang mengumumkan kemunculan varian itu pada 26 November lalu, mengumumkan varian itu telah merebak ke 76 buah negara setakat 14 Disember 2021. 

 

"Namun, lebih banyak data diperlukan sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai kesan varian yang disebabkan Omicron.

 

"Dalam hal ini, dos penggalak mungkin diperlukan bagi meningkatkan perlindungan terhadap varian ini," katanya. 

 

Di Malaysia, kes jangkitan baharu semakin menurun kepada 4,097 setakat 14 Disember, malah lebih rendah berbanding 24,559 yang direkodkan pada 26 Ogos lalu.

 

Setakat hari ini, negara sudah merekodkan kes kedua Omicron setelah melaporkan kes pertama 2 minggu lalu. 

 

Di sebalik pandemik COVID-19, Seong Chun berkata, pendigitalan kini penting dalam sektor penjagaan kesihatan dan  menjadi kunci utama untuk mengekalkan tahap kepuasan pelanggan di samping kecekapan menguruskan kos. 

 

IHH Healthcare Bhd. misalnya telah memperuntukkan sebanyak AS$100 juta untuk membangunkan keupayaan penjagaan kesihatan digital dalam tempoh 3 tahun akan datang. 

 

Beberapa bidang yang sudah bersedia ke arah pendigitalan termasuklah pelantikan doktor dan penghantaran ubat.

 

Bagi Apex Healthcare Bhd. pula, syarikat memaklumkan di laman webnya bahawa 'kumpulan akan terus melabur untuk meningkatkan keupayaan digitalnya, untuk memastikan pekerja dilengkapi untuk melaksanakan secara berkesan dalam normal baharu dan untuk memperdalam lagi hubungan pelanggan dengan menambah baik akses kepada produk kumpulan'.

 

Di samping itu, menurut beliau, pemain sektor penjagaan kesihatan akan menyalurkan lebih banyak sumber peruntukan bagi menambah baik ESG apabila memasuki 2022. 

 

Langkah ini, katanya, penting untuk mengekalkan penjenamaan atau produk syarikat termasuk mengelakkan sebarang isu negatif berkaitan ESG. 

 

"Kami mempunyai penarafan keseluruhan ESG 4 bintang untuk IHH manakala 3 bintang untuk Apex. 
 

"Penarafan ESG disepadukan dalam penilaian kami di mana kami memberikan premium 3% kepada nilai intrinsik IHH Healthcare untuk memperoleh nilai saksama. 

 

"Tiada premium kepada Apex kerana penarafan 3 bintang itu menyamai penarafan 'purata'," jelasnya.

 

Namun, firma itu meletakkan saham Apex sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' pada nilai wajar RM3.33 berikutan kedudukan syarikat yang akan mendapat manfaat daripada populasi penduduk berusia, pendidikan kesihatan awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang stabil.

 

Sebaliknya, IHH diberi saranan 'pegang' dengan nilai wajar RM6.27 memandangkan ia menguasai sebahagian besar daripada modal pasaran dalam sektor ini. - DagangNews.com