AmInvestment positif terhadap cadangan UEM Sunrise lupus tanah di Tanjung Kupang | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap cadangan UEM Sunrise lupus tanah di Tanjung Kupang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - AmInvestment Bank Research positif terhadap cadangan pelupusan tanah di Tanjung Kupang oleh UEM Sunrise kerana kumpulan itu boleh memberi lebih banyak tumpuan kepada pelancaran projek perumahan baharu di Johor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga boleh memanfaatkan ekonomi yang muncul daripada cadangan pembangunan perindustrian oleh Paragon Globe Berhad yang merupakan pembeli tanah mereka.

 

Katanya, harga pelupusan itu adalah pada diskaun 2.6% kepada nilai pasaran indikatif RM150 juta dan berdasarkan semakan firma itu, harga yang diminta untuk tanah pertanian sekitar adalah antara RM30 sekaki persegi hingga RM40 sekaki persegi.

 

"Kami menganggap harga pelupusan pada RM29 sekaki persegi adalah munasabah memandangkan saiz tanah yang dilupuskan yang besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: UEM Sunrise lupus tanah seluas 49.6 hektar berharga RM146.1 juta di Tanjung Kupang kepada Paragon Globe

 

Terdahulu, anak syarikat UEM Sunrise iaitu Nusajaya Rise, Symphony Hills dan Nusajaya Heights secara kolektif telah memeterai lapan perjanjian jual beli (SPA) bagi melupuskan tanah pegangan bebas seluas 49.6 hektar di Tanjung Kupang dan Pulai di Johor Bahru kepada Paragon Globe pada harga RM146 juta.

 

Tujuan utama pelupusan itu adalah bagi mengaktifkan lebih banyak projek pembangunan kediaman di negeri itu.

 

Sementara itu, Paragon Globe merancang untuk membangunkan hartanah perindustrian, termasuk kilang dan asrama di tanah berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berasarkan laporan tahun 2022, nilai buku bersih purata tanah di Iskandar Puteri ialah RM12 sekaki persegi.

 

"Kami menganggarkan keuntungan daripada pelupusan tanah sebanyak RM87 juta atau 60% daripada hasil jualan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengna harga wajar (FV) 77 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com