AmInvestment positif terhadap prospek Lagenda Properties | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek Lagenda Properties

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - AmInvestment Bank Research positif terhadap prospek Lagenda Properties Berhad terutama selepas pengambilalihan tanah seluas 170 hektar di kawasan Mukim Durian Sebatang di Perak dengan nilai RM92 juta.

 

Firma itu berkata, bagi tanah yang baru diperoleh kumpulan itu telah mendapat kelulusan perancangan untuk membangunkan Fasa 4 LTI di atas tanah seluas93.8 hektar dengan baki plot seluas 76.8 hektar dikekalkan sebagai tanah pertanian.

 

Katanya, kumpulan itu pada masa ini tidak mempunyai sebarang kelulusan perancangan di atas tanah seluas 76.8 hektar itu tetapi kumpulan itu berhasrat untuk mendapatkan kelulusan pada masa hadapan untuk mengembangkan lagi perbandaran sedia ada.

 

"Sementara itu, Lagenda sedang berunding dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menukar tanah daripada pertanian kepada hak milik kediaman.

 

"Tanah itu bagaimanapun tidak boleh dipindah milik, dipajak, dicaj atau dibebankan tanpa kelulusan daripada Menteri Besar Perak.

 

"Cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang pada Oktober 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu tmenyukai Lagenda kerana berjaya mencatatkan perkembangan pendapatan sebanyak 20% pada FY22F disokong oleh jualan yang belum direkodkan dan jualan baharu yang ketara daripada projek yang akan datang.

 

Kumpulan itu memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik yang kurang dibangunkan yang mempunyai ramai golongan B40 dan M40.

 

"Selain itu mereka juga memberi fokus kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pemasangan sistem solar di rumah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) yang lebih rendah iaitu RM1.88 sesaham. - DagangNews.com