AmInvestment unjur OPR kekal pada kadar 3% sepanjang 2024, inflasi utama dan teras terus catat penurunan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur OPR kekal pada kadar 3% sepanjang 2024, inflasi utama dan teras terus catat penurunan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal 3% sepanjang 2024. 

 

Selepas kadar terkumpul naik sebanyak 125bps dan menormalkan OPR kepada 3% pada Mei 2023, firma penyelidikan itu menjangkakan kadar faedah penanda aras kekal pada tahun ini dengan inflasi utama serta inflasi teras terus mencatatkan penurunan.

 

"Pakar ekonomi kami menjangkakan inflasi pada 2024 akan menyusut dalam julat 2.5% hingga 3.5%, dengan mengambil kira kesan rasionalisasi subsidi serta kesan kenaikan cukai perkhidmatan.

 

"Bagaimanapun, kami melihat terdapat beberapa risiko lain sekiranya skop rasionalisasi subsidi diluaskan kepada RON95," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan margin faedah bersih (NIM) berada pada tahap terbaik untuk bank pada 2024 sekiranya tiada sebarang kenaikan OPR.

 

Katanya, impak positif penuh daripada kenaikan OPR 25bps pada Mei 2023 berjaya memberi kesan positif kepada bank terutamanya daripada kenaikan kadar faeadah pada suku ketiga tahun lalu.

 

"Kami tidak menjangkakan sebarang peningkatan ketara kepada NIM bank pada suku pertama 2024," katanya.

 

AmInvestment mengunjurkan industri perbankan Malaysia mencatatkan pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% pada tahun ini dan ia beradasar kepada unjuran perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5% pada 2024.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap CIMB Group dengan nilai wajar (FV) RM6.90 sesaham, Hong Leong Bank (FV: RM22.60 sesaham) dan RHB Bank (FV: RM6.30 sesaham).

 

"Kami menyukai CIMB kerana penilaian yang menarik selain kualiti aset  bertambah baik dengan peruntukan lebih rendah makala kepelbagaian hasil serta inisiatif pembentukan semula portfolio menyumbang kepada pulangan ekuiti (ROE) yang lebih kukuh," katanya. - DagangNews.com