Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov - Ajiya Bhd mengumumkan anak syarikatnya Asia Roofing Industries Sdn Bhd (ARI) dan Ajiya Safety Glass Sdn Bhd (ASG) telah menandatangani dua Perjanjian Jual Beli dengan Sime Darby Property (Nilai) Sdn. Bhd. bagi pembelian dua petak tanah perindustrian dengan pertimbangan tunai berjumlah RM34.47 juta.
Ajiya dalam kenyataannya berkata, kedua-dua tanah itu berukuran kira-kira 291,852.00 kaki persegi dan 397,702.80 kaki persegi dan terletak di Mukim Setul, Seremban, Negeri Sembilan.
"Pengambilalihan ini adalah selaras dengan strategi Kumpulan untuk memusatkan aktiviti pembuatan rollforming logam dan kaca keselamatan yang kini terletak di Shah Alam dan Puchong di satu lokasi strategik.
"Pengambilalihan itu adalah penting bagi Kumpulan Ajiya untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Syarikat itu berkata, pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham dan pendapatan sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2021.
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, Lembaga Pengarah menjangkakan pemerolehan itu akan selesai dalam tempoh dua tahun," katanya. -DagangNews.Com