Anggota Lembaga Angkasa dipilih semula sebagai Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2022-2026 | DagangNews Skip to main content

Anggota Lembaga Angkasa dipilih semula sebagai Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2022-2026

Seramai 70 deligasi diwakili kementerian dan agensi yang diketuai Tan Sri Noh Omar menghadiri Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa di Seville, Sepanyol.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Kamarudin Ismail hari ini telah dipilih sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (International Cooperative Alliance-ICA) bagi penggal 2022-2026.

 

Pemilihan tersebut dibuat melalui pengundian pada Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa, ICA Elective General Assembly 2022 di Hotel Silken Al-Andalus, Seville, Sepanyol. 

 

Kamarudin mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Lembaga ICA mewakili Malaysia pada pemilihan dalam perhimpunan agung itu. Seramai 15 ahli lembaga daripada 21 calon yang dipilih untuk berkhidmat bagi tempoh empat (4) tahun bagi penggal 2022 hingga 2026. 

 

Dr. Ariel Guarco daripada Argentina telah dipilih semula sebagai Presiden ICA yang baharu. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pemilihan semula Kamarudin sebagai Ahli Lembaga di peringkat global merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan buat gerakan koperasi negara. 

 

“Kejayaan ini menunjukkan bahawasanya Malaysia telah berjaya melahirkan tokoh koperasi di peringkat antarabangsa dan dengan adanya warga Malaysia dalam kepimpinan ICA, saya melihat akan wujudnya jambatan yang dapat menghubungkan koperasi di Malaysia dan koperasi di negara luar.

 

“Harapan saya koperasi tidak harus terikat dengan perniagaan berkisar dalam negara sahaja, malah perlu perluas aktivitinya dan terlibat dalam perdagangan antarabangsa selain penyumbang kepada aktiviti import dan eksport. Apa yang penting pemilihan ini akan membantu meningkatkan hubungan perniagaan dua hala antara gerakan koperasi di Malaysia dan koperasi di luar," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

koperasi

 

 

Terdahulu, Noh turut menghadiri Persidangan “Cooperatives: The Moment Is Now!” yang membuka tirai penganjurannya pada 19 Jun 2022 secara bersemuka. 

 

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pula berkata, Angkasa merupakan ahli tetap ICA sejak tahun 1972 sentiasa memainkan peranan aktif pada peringkat global.

 

"Ia bagi memastikan gerakan koperasi negara mempunyai ‘nama’ di luar negara bagi memudahkan jalinan kerjasama antara koperasi dengan koperasi untuk meneroka sektor baharu dan meningkatkan jaringan perniagaan bagi menempatkan produk serta perkhidmatan koperasi di pasaran terbuka," katanya.

 

 

koperasi

 

 

Delegasi koperasi Malaysia yang diketuai oleh Noh melibatkan delegasi terdiri daripada 70 wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Angkasa dan beberapa buah koperasi yang tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia. 

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron; Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar. - DagangNews.com